Anda di sini

PBT dan PDRM diarah pantau situasi di premis bank

Advertisement
SAFAR
SAFAR

KOTA KINABALU: Pihak Berkuatkuasa Tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi yang diberi kuasa diarah untuk memantau dan menguatkuasakan penjarakan sosial pelanggan yang berbaris di luar premis bank.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Datuk Safar Untong berkata, arahan berkenaan berikutan berlakunya kesesakan di kawasan bandar dan pekan seluruh negeri pada 6 April lepas terutama di cawangan-cawangan bank.

Katanya, arahan penjarakan sosial perlu dipatuhi sama ada ketika berbaris sebelum memasuki bank atau berada di dalam bank. 

Menurutnya, pelanggan bank di seluruh negeri perlu mengamalkan penjarakan sosial, memakai topeng dan menggunakan cecair pembersih tangan ketika berurusan di bank.
 
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berpusu-pusu datang ke cawangan bank.  
 
"Pihak bank disarankan untuk menghadkan bilangan pelanggan yang berurusan pada satu-satu masa.  Di samping itu, pihak bank hendaklah melaksanakan tatacara yang tertib dan teratur," katanya  dalam kenyataan di sini hari ini. 
 
Dalam pada itu, pihaknya turut memutuskan Kompleks Perikanan SAFMA di sini hanya digunakan untuk pemunggahan ikan dan jualan borong sahaja.

Katanya, tindakan itu dikuatkuasakan serta-merta berikutan kesesakan yang berlaku di kompleks berkenaan setiap hari.

Safar berkata, semua aktiviti menjaja ikan dan hasil perikanan lain di kawasan kompleks tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

  • oleh
  • Advertisement