Anda di sini

Latihan atlet angkat berat diteruskan

Advertisement
 Ahmad Shapawi pada sidang media berkenaan langkah-langkah pencegahan dan penularan wabak COVID-19 dalam kalangan para atlet negara di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada 17 Mac lepas. — Gambar Bernama
PENERANGAN: Ahmad Shapawi pada sidang media berkenaan langkah-langkah pencegahan dan penularan wabak COVID-19 dalam kalangan para atlet negara di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada 17 Mac lepas. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Program latihan atlet angkat berat negara akan diteruskan di peringkat kebangsaan dan pelapis secara dalaman, walaupun Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) digantung Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF), susulan isu doping yang melibatkan beberapa atlet negara.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam satu kenyataan berkata, badan induk itu akan terus bekerjasama dengan PABM, bagi menghadapi isu berkenaan, namun mengingatkan atlet angkat berat negara supaya memberi kerjasama penuh, dalam menangani isu penyalahgunaan bahan terlarang, dalam sukan berkenaan.

“Majlis Sukan Negara juga menasihatkan pegawai, jurulatih dan atlet angkat berat bagi semua peringkat, untuk meneruskan latihan masing-masing sambil mematuhi peraturan-peraturan yang ada, berkaitan dengan isu doping.

“Buat masa ini perlu diingatkan juga agar mematuhi arahan yang dikuatkuasakan, semasa Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan di seluruh negara ketika ini. Sentiasa menjaga kebersihan dan pergerakan masing-masing,” jelasnya.

Pada masa sama beliau turut mendedahkan, pihaknya akan merujuk kepada Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) dalam satu mesyuarat seterusnya, berhubung penyertaan acara angkat berat pada SUKMA 2020 di Johor, susulan keputusan penggantungan PABM oleh IWF.

SUKMA 2020 sepatutnya dijadualkan berlangsung pada Julai ini, namun ditangguhkan susulan pandemik COVID-19.

“Sehingga kini, sukan angkat berat masih dipertandingkan, apatah lagi tarikh Sukma Johor 2020 yang tertangguh masih belum dimuktamadkan lagi. Mungkin lebih baik kita menunggu perkembangan selanjutnya dari PABM dan IWF,” katanya.

PABM digantung daripada menyertai sebarang aktiviti IWF selama setahun bermula 1 April 2020 hingga 1 April 2021, selain semua atlet angkat berat Malaysia tidak dibenarkan untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Keputusan itu juga turut tidak membenarkan atlet Malaysia menyertai sebarang kejohanan dan program anjuran IWF, selama lima bulan sehingga 1 Sept 2020.

Penggantungan selama lima bulan itu adalah disebabkan sebelum ini, PABM telah menggantung atlet Malaysia daripada menyertai sebarang kejohanan IWF selama setahun, bermula 31 Mei 2018 hingga 1 Mei 2019. — Bernama

Advertisement