Anda di sini

Kilang di Zon Perdagangan Bebas Samajaya dibenarkan beroperasi pada tahap minimum

Advertisement
 

KUCHING: Semua syarikat di Zon Perdagangan Bebas Samajaya dibenarkan beroperasi pada tahap minima oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Naroden Majais berkata Sarawak tidak terkecuali untuk membenarkan sektor Elektrik dan Elektronik (E&E) itu untuk masih beroperasi disini.

"Ini seiring dengan dasar Kerajaan Persekutuan yang membenarkan sektor Elektrik dan Elektronik (E&E) sepertimana di negeri Selangor dan Pulau Pinang beroperasi pada tahap minimum," katanya mengulas kenyataan Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, hari ini.

Ia berikutan kenyataan Chong baru-baru ini yang mahukan agar kerajaan negeri menutup kilang elektronik di Zon Perdagangan Bebas, Samajaya sepanjang PKP ini.

Naroden berkata kerajaan negeri juga membenarkan industri melibatkan petani, nelayan, perladangan, papan lapis dan kayu, syarikat minyak dan gas beroperasi agar ekonomi tidak terjejas teruk.

Justeru JPBNS juga katanya telah mengumumkan kedai perkakasan, jualan input pertanian, dan kedai bahan gantian dibenarkan dibuka dua kali seminggu, iaitu pada hari Selasa dan Khamis dari jam 7 pagi hingga 7 malam. 

Syarikat sektor E&E di Samajaya hanya beroperasi sekitar 20 hingga 30 peratus, menggunakan syif dan bukan secara ramai di dalam satu tempat.

Manakala, kakitangan pengurusan sektor berkenaan juga diminta bekerja dari rumah. 

Langkah-langkah pencegahan lain yang disediakan syarikat itu termasuk pemeriksaan suhu badan, penggunaan penutup hidung dan mulut, cecari sanitasi tangan, penjarakan sosial di kantin, bilik mesyuarat, kawasan pengeluaran dan sebagainya. 

"Sebaliknya, kebanyakan syarikat-syarikat ini telah mula melaksanakan langkah pencegahan tersebut sebelum PKP diumumkan. Mereka telah menghadkan perjalanan kakitangan mereka ke kawasan yang terjejas. 

"Sebahagian daripada syarikat ini mempunyai klinik mini mereka sendiri dengan beberapa orang doktor dan jururawat untuk memantau kesihatan pekerja mereka. Selain menubuhkan jawatankuasa mereka sendiri untuk memastikan bahawa prosedur operasi standard (SOP) mereka dipatuhi," jelasnya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama beberapa orang menteri pada 26 Mac, melawat ke lima syarikat di Samajaya.

  • oleh
  • Advertisement