Anda di sini

Kerajaan hargai pengorbanan barisan hadapan pastikan PKP dipatuhi 

Advertisement
 Shafie semasa menandatangani buku pelawat di SJR Jalan Kepayan di sini.
LAWAT: Shafie semasa menandatangani buku pelawat di SJR Jalan Kepayan di sini.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah berterima kasih dan menghargai pengorbanan barisan hadapan terutamanya agensi keselamatan bergadai nyawa melaksanakan tugas demi memastikan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, tugas barisan hadapan adalah sangat berat dalam memastikan pembendungan serta pengawalan penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat.

“Kita tahu COVID-19 adalah penyakit yang belum ada penawar dan cara untuk mencegahnya adalah dengan menjaga jarak antara individu bagi memastikan penularan tidak berlaku dari satu individu ke individu lain.

“Kita berhadapan masalah untuk pastikan masyarakat faham serta sedar tentang penyakit ini dan adalah menjadi tugas pihak berkuasa untuk mengawal serta membendung pergerakan masyarakat selain mengambil tindakan serta melaksanakan penahanan semata-mata,” katanya.

Beliau berkata penugasan agensi keselamatan melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) menunjukkan peningkatan dan pematuhan masyarakat kini berjaya mencecah 27.03 peratus di sini.

“Usaha pihak berkuasa sebagai barisan hadapan tidaklah mudah dan mereka sanggup berkorban nyawa di lapangan.

“Mungkin nampak mudah tetapi kita tidak tahu risiko yang ditempuh oleh mereka kerana petugas keselamatan bukan berhadapan dengan peluru atau bom tetapi satu virus berbahaya yang boleh membunuh dalam jangka masa pendek tidak mengira usia muda atau tua.

“Mereka tidak tahu siapa yang dijangkiti di lapangan semasa menjalankan tugas sehingga membawa risiko kepada diri sendiri tetapi demi tugas semua risiko itu diketepikan demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Oleh itu beliau berterima kasih kepada petugas barisan hadapan termasuk PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), RELA serta petugas lain dan menasihatkan orang ramai agar bersama-sama mematuhi arahan ini bagi memutuskan rangkaian penularan COVID-19.

Beliau berkata demikian semasa melawat SJR di Jalan Kepayan yang turut dihadiri Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass, Panglima 5 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji.

  • oleh
  • Advertisement