Anda di sini

Kelancaran pergerakan sayuran ke pasaran dipantau

Advertisement
JUNZ
JUNZ

KOTA KINABALU: Sejak pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan iaitu minggu petama dan kedua, Jabatan Pertanian Sabah di daerah Ranau telah memberi pengesahan kepada 58 pengusaha/pemborong/peraih untuk mengedarkan hasil mereka ke seluruh Sabah termasuk Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.  

Sehingga kini, sebanyak 148 pengesahan telah dikeluarkan dan sebanyak 184 buah kenderaan telah didaftarkan untuk mendapat pelekat khas pergerakan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong berkata demikian ketika mengulas gesaan Ketua Unit Peladang Kg Lipasu, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kinabalu Jailin Nazrin.

Jailin dipetik sebagai berkata, "masalah ini semakin serius, berikutan para pemborong sayur dari luar Kundasang tidak dibenarkan masuk. Sayur-sayuran adalah barangan keperluan rakyat, dan pengeluaran serta penjualannya mesti berterusan."

Junz berkata pihak daerah yang bertanggungjawab dalam memastikan PKP dipatuhi khususnya PDRM tidak pernah menghalang mana-mana pemborong sayur Kundasang ataupun pengeksport sayur Kundasang ke Brunei, Sarawak ataupun ke Semenanjung.

Junz berkata di peringkat Daerah Ranau/Kundasang pihak yang bertanggungjawab sama ada Pejabat Daerah, PDRM dan Jabatan Pertanian Ranau sentiasa berusaha dan bekerjasama untuk membantu agar pergerakan pemborong-pemborong, pengeksport sayur dan pengusaha sayuran Kundasang ini berjalan lancar.

"Kementerian saya, Pejabat Daerah Ranau, PDRM, Kementerian Kesihatan Malaysia, FAMA dan PPK Kinabalu bekerja rapat dengan mereka yang terlibat dalam pengeluaran dan pemasaran sayuran bagi menangani masalah pemasaran sayur tanah tinggi kundasang.

"Kita akui COVID-19 telah menjejaskan aktiviti harian kita termasuklah kesannya kepada petani sayuran Kundasang, namun kita berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan impaknya kepada mereka," jelasnya.

Junz berkata, beliau telah dimaklumkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah sedang memantau kelancaran pergerakan sayuran tanah tinggi kundasang ke pasaran di seluruh daerah di Sabah termasuk Tawau, Lahad Datu, Semporna, Sandakan, Kudat dan Kota Kinabalu juga ke Sarawak melalui Sindumin.

FAMA Sabah juga telah mengurus penghantaran 45 metrik tan sayuran ke Selayang, Kuala Lumpur dan setakat ini tiada halangan yang dihadapi.

Sementara itu, Junz memuji usaha yang dilakukan oleh aktivis belia dan pengusaha kebun sayur Azizul Julirin serta rakan-rakannya untuk menghantar bekalan sayuran ke Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, Junz berkata dia tidak nampak pun kelibat Jailin Nazrin di lapangan dan bertanya sama ada Jailin menetap di Ranau/Kundasang.

"Apapun, kementerian saya melalui Jabatan Pertanian Sabah akan meneruskan pemantauan dan penyelarasan aktiviti pemasaran dan lain akitiviti berkaitan tanaman pertanian khususnya di Kundasang," katanya.

Advertisement