Anda di sini

Kadar jenayah di Penampang menurun hingga 80 peratus sepanjang PKP

Advertisement
 Haris mengajak warga IPD Penampang supaya sentiasa mengenakan penutup muka dan sarung tangan sepanjang menjalankan penugasan rutin.
SUMBANGAN: Haris mengajak warga IPD Penampang supaya sentiasa mengenakan penutup muka dan sarung tangan sepanjang menjalankan penugasan rutin.

PENAMPANG: Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semenjak 18 Mac lepas menyaksikan penurunan kadar jenayah di daerah ini sehingga ke tahap 80 peratus.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim berkata perkembangan itu juga sekaligus menunjukkan keberkesanan PKP mendidik masyarakat.

“Kes jenayah memang masih berlaku tetapi penurunannya sangat ketara dan drastik, misalnya, melibatkan kes pecah masuk rumah atau bangunan dan kes curi,” katanya. 

Haris berkata demikian selepas menerima sumbangan penutup muka dan sarung tangan daripada Ahli Parlimen Penampang Datuk Darrel Leiking, di IPD Penampang di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau percaya keadaan itu berlaku kerana semua orang sedar ancaman pandemik COVID-19 dan penguatkuasaan ketat PKP khususnya sekatan jalan raya.

Menyentuh hal berasingan, beliau menasihati warga Penampang supaya tidak berhimpit semasa berbaris untuk mengeluarkan wang masing-masing dari institusi perbankan.

“Hari ini kita dapati di Pekan Donggongon, orang ramai beratur semenjak awal pagi dan kehadiran polis adalah untuk memastikan mereka tidak berhimpit antara satu sama lain.

“Polis berterima kasih dengan institusi perbankan kerana memberikan kerjasama baik, begitu juga orang ramai yang mengikuti nasihat anggota kita di lokasi,”katanya.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Darrel dan jenteranya kerana memberikan sumbangan 250 penutup muka dan 250 pasang sarung tangan.

  • oleh
  • Advertisement