Anda di sini

Inovasi rakyat bantu lindungi petugas barisan hadapan

Advertisement
 Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Adib Azhari Daud (tengah) melihat UTMShield Automated Disinfection Chamber atau Pondok Nyah Cemar Automatik daripada  Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuantan semalam. — Gambar Bernama
INGIN TAHU: Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Adib Azhari Daud (tengah) melihat UTMShield Automated Disinfection Chamber atau Pondok Nyah Cemar Automatik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuantan semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Memasuki hari ke-20 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, petugas-petugas barisan hadapan yang berjuang memerangi wabak COVID-19 dalam melindungi diri daripada jangkitan itu terus mendapat bantuan rakyat Malaysia yang kreatif dan berinovasi.

Seorang doktor di Kuantan menghasilkan kubikel ‘I3S Cubicle’ yang berupaya melindungi petugas kesihatan daripada jangkitan virus itu ketika melakukan saringan pesakit.

Kubikel itu dipasang di hadapan unit kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada Ahad dan hanya mengambil masa sehari untuk disiapkan.

Sebelum itu Pakar Perunding Pembedahan Mulut dan Maksilofasial Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Prof Dr Firdaus Hariri, 42, menghasilkan kotak perlindungan intubasi yang mudah untuk diedarkan secara percuma di hospital dan klinik awam di seluruh negara.

Kotak-kotak perlindungan intubasi itu yang dibuat menggunakan acrylic lutsinar mampu berfungsi sebagai perisai untuk petugas perubatan barisan hadapan semasa melakukan prosedur intubasi pada pesakit COVID-19.

Dalam pada itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghasilkan 10 unit ‘Pondok Nyah Cemar Automatik UTM Shield’, untuk kegunaan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Inovasi hasil usaha sama penyelidik dan pelajar Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, serta Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan itu berfungsi secara automatik, dan mampu nyah cemar keseluruhan badan individu.

Sementara itu, benteng barisan hadapan juga akan diperkuatkan dengan penerimaan kit pengesanan pantas antigen baharu dari Korea Selatan hari ini dalam usaha meningkatkan bilangan ujian dan kadar ketepatan setiap ujian COVID-19 yang dijalankan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, bagaimanapun, berkata alat baharu itu perlu melalui proses penentusahan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum sebarang keputusan untuk membeli kit berkenaan dibuat.

Sebanyak 3,662 kes positif COVID-19 dicatatkan sehingga 12 tengah hari kelmarin.

Jumlah kematian pula adalah 61 kes, iaitu 1.67 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. — Bernama

Advertisement