Anda di sini

Haiwan peliharaan bukan penyebar COVID-19 - Jabatan Perkhidmatan Veterinar 

Advertisement
Seekor kucing melalui di Jalan Lim Bo Seng yang lengang selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menasihatkan orang ramai untuk tidak keluar rumah kecuali atas urusan penting ketika tinjauan pada 5 April lalu. - Gambar Bernama
Seekor kucing melalui di Jalan Lim Bo Seng yang lengang selepas penguatkuasaan PKP yang menasihatkan orang ramai untuk tidak keluar rumah kecuali atas urusan penting ketika tinjauan pada 5 April lalu. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Haiwan peliharaan bukanlah penyebar virus COVID-19, justeru masyarakat tidak perlu gusar atau khuatir, dan pemilik tidak perlu membawa haiwan peliharaan mereka menjalani ujian pengesanan virus COVID-19 buat masa ini.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam satu kenyataan berkata berasaskan penemuan saintifik semasa, walaupun haiwan kesayangan boleh dijangkiti dengan virus COVID-19, tetapi ia tidak menjadi berbahaya kerana virus ini hanya menyebabkan jangkitan yang ringan pada haiwan itu.              

"Virus yang terdapat pada haiwan berada dalam jumlah yang rendah untuk disebarkan kepada manusia," menurut kenyataan itu.

Jabatan itu menjelaskan walaupun penularan jangkitan COVID-19 pada manusia sangat tinggi, tetapi di dalam kes haiwan, ia adalah terpencil kerana haiwan kesayangan didapati tidak dapat diserang secara semula jadi. 

"Sehingga kini, punca jangkitan pada haiwan adalah daripada manusia. Sehubungan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar menasihatkan pemilik haiwan kesayangan yang mengesyaki dirinya terjangkit dengan COVID-19 perlulah mengasingkan diri dari haiwan kesayangan.

“Pemilik haiwan kesayangan perlu mengamalkan kebersihan diri dan keperluan kebajikan haiwan tidak diabaikan," menurut kenyataan itu.

Semalam terdapat laporan mengenai seekor harimau Malaya di Zoo Bronx, Amerika Syarikat disahkan positif COVID-19, dipercayai tersebar melalui penjaga zoo berkenaan. - Bernama 

Advertisement