Anda di sini

Dua hotel yang dijadikan pusat kuarantin di Kuching dikawal ketat

Advertisement
Muhamad Faris (dua kiri) bersama anggota keselamatan lain yang melakukan tugas pengawasn dan kawalan di Hotel Rajah Court Grand Dormani.
Muhamad Faris bersama anggota keselamatan lain yang melakukan tugas pengawasan dan kawalan di sebuah hotel.

KUCHING: Dua hotel di Jalan Datuk Abdul Rahim dan Jalan Tun Razak di sini yang dijadikan pusat kuarantin untuk rakyat Sarawak pulang dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan dikawal ketat anggota keselamatan bagi memastikan tiada orang luar tidak ada urusan mustahak memasuki kawasan berkenaan.

Tinjauan pusat kuarantin hari ini mendapati kawasan berkenaan dipagari dengan garisan polis selain beberapa anggota polis dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sukarelawan Malaysia (RELA) berkawal di dua hotel berkenaan.

Menurut Pegawai Staf Muda Pertahanan Awam Muhamad Faris Iskandar yang ditugaskan di sebuah hotel, seramai 87 terdiri daripada 53 lelaki dewasa, 32 wanita dewasa dan dua kanak-kanak di tempatkan di hotel berkenaan sebagai orang di bawah pengawasan (PUS) 

Beliau berkata mereka tiba dari Semenanjung Malaysia pada hari Isnin dan terus dibawa ke hotel berkenaan untuk dikuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang, dengan syarat mereka bebas daripada COVID-19.

"Kami difahamkan 87 PUS ini diperiksa tahap kesihatan mereka setiap hari oleh pegawai kesihatan yang ditempatkan di sini.

"Kalau mereka bebas daripada jangkitan (COVID-19) mereka dibenarkan pulang dan jika ada yang menunjukkan simptom mereka akan dihantar ke tempat kuarantin yang menempatkan orang yang disyaki (PUI)," katanya.

Muhammad Faris juga memberitahu, hanya ahli keluarga terdekat PUS dibenarkan menghantar barang keperluan melalui pegawai kesihatan atau anggota APM bertugas di situ.

"Di sini kawalan dan pengawasan dilakukan oleh enam anggota APM termasuk seorang pegawai, empat anggota polis termasuk seorang pegawai dan dua anggota RELA," katanya.

Anggota polis memeriksa barangan keperluan dihantar ahli keluarga salah seorang PUS yang ditempatkan di Hotel Rajah Court Grand Dormani.
Anggota polis memeriksa barangan keperluan dihantar ahli keluarga salah seorang PUS yang ditempatkan di Hotel Rajah Court Grand Dormani.

Sementara itu di sebuah lagi hotel, seorang anggota polis yang enggan namanya disiarkan memberitahu terdapat kira-kira 86 PUS ditempatkan di situ.

"Mereka dimasukkan di sini pada Ahad. Ini adalah kawasan larangan. Kawalan di sini memang ketat. Tiada orang luar dibenarkan masuk kecuali pegawai dan kakitangan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).

"Kami diberitahu makanan mereka yang ditempatkan di sini disediakan oleh hotel menerusi dana disediakan kerajaan negeri," katanya.

Pada Isnin, Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada sidang media perkembangan COVID-19 berkata bermula Ahad (5 April 2020) semua rakyat Sarawak yang pulang dari luar negara, Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan akan ditempatkan di pusat kuarantin di mana mereka tiba.

Sebuah lagi hotel turut dipagari dengan garisan polis bagi menghalang orang ramai memasuki kawasan hotel berkenaan.

Beliau berkata ia antara langkah memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 kepada ahli keluarga rakyat Sarawak yang pulang ke negeri ini dari luar Sarawak serta orang ramai amnya.

Abdul Karim yang dihubungi hari ini bagi mengetahui jumlah keseluruhan PUS ditempatkan empat hotel berkenaan memaklumkan perkara itu hanya akan diketahui lewat petang ini semasa mesyuarat harian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

  • oleh
  • Advertisement