Anda di sini

COVID-19: Malaysia rekod 69 kes sporadik - KP Kesihatan

Advertisement
 
etua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (kanan) bersama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon semasa sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Gambar Bernama
Dr Noor Hisham (kanan) bersama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon semasa sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan 69 kes sporadik COVID-19 setakat ini, iaitu kes yang tidak diketahui asal usul dan punca jangkitannya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata keputusan itu diperoleh selepas 8,025 ujian dijalankan bagi mengesan kes sporadik melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) dengan baki 7,956 keputusan ujian pula adalah negatif.

"Jadi kita ada kes sporadik tapi tak banyak yang kita tak tahu asal jangkitan dari mana. Ada yang kes sporadik tapi bila kita lihat sejarah, ada sejarah berkaitan sama ada perhimpunan Sri Petaling dan perhimpunan gereja di Kuching jadi itu bukan sporadik sebab kita dapat kesan mana asal usul jangkitan ini. 

"Tapi yang kita tak dapat kesan adalah 69 kes tak tahu macam mana dia dapat jangkitan itu," katanya pada sidang media harian berkaitan wabak COVID-19 di sini hari ini. 

Dalam pada itu beliau berkata bekalan reagen atau bahan uji kaji mengesan COVID-19 hanya mampu bertahan selama kira-kira seminggu sahaja dan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berusaha untuk mendapatkan stok bekalan reagen itu.

"Minggu lepas kami kekurangan reagen, jadi pembekal yang kami kenal pasti ada tiga syarikat tapi hanya mampu membekalkan reagen itu sebanyak 40 peratus daripada keperluan KKM.

"Jadi bila kami ada kekangan reagen, pembekal masing-masing mencari sama ada terdapat bekalan di Singapura atau tidak dan pihak Jabatan Kesihatan Sabah pun sedang berusaha mendapatkan reagen itu," katanya dan berharap bekalan tersebut akan diperoleh segera. 

Beliau berkata KKM juga sedang mengoptimumkan penggunaan satu reagen dalam setiap lima sampel kes COVID-19.

Dalam pada itu Dr Noor Hisham berkata KKM tidak pernah mendedahkan data peribadi pesakit COVID-19 secara umum, sebaliknya hanya mendedahkan maklumat seperti jumlah pesakit dan nombor kes. 

Ia susulan kewujudan sebuah portal yang menggunakan logo KKM yang mendedahkan butiran penuh pesakit COVID-19. - Bernama

Advertisement