Anda di sini

Bukan ditangkap, tapi untuk saringan COVID-19

Advertisement
Abdul Karim bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Abu Bakar Marzuki (kanan) menunjukkan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang disumbangkan pertubuhan bukan kerajaan kepada petugas barisan hadapan.
Abdul Karim bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Abu Bakar Marzuki (kanan) menunjukkan Peralatan Perlindungan Diri sumbangan pertubuhan bukan kerajaan kepada petugas barisan hadapan.

KUCHING: Orang ramai yang pernah menghadiri acara atau mesyuarat dengan mereka yang positif COVID-19 diminta untuk tampil membuat saringan di pusat pemeriksaan yang disediakan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia bagi mengekang penularan wabak berkenaan terutama dikalangan keluarga mereka.

"Kita amat berharap mereka yang hadir atau terlibat dalam acara ini untuk hadir membuat saringan. Mereka yang datang bukan untuk ditangkap tetapi kita mahu mereka menjalani saringan kerana kita tahu mereka juga mempunyai keluarga dan kita tidak mahu ia terus merebak dikalangan mereka," katanya pada sidang media yang mewakili pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JBPNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, ia termasuk mereka yang tinggal di kawasan yang diisytiharkan Zon Merah.

Mengenai kemudahan makmal yang digunakan untuk ujian pengesanan COVID-19 di Kuching, beliau berkata buat masa ini ia memadai.

"Berbanding sebelum ini kita perlu menghantar ujian pengesanan ke Kuala Lumpur yang mengambil masa tiga hingga empat hari keputusan. Namun memandangkan setiap hari adalah amat penting bagi ujian ini maka di Kuching terdapat dua makmal iaitu di Hospital Umum Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

"Dengan dua makmal berkenaan kita dapat mengetahui keputusan ujian dalam masa 24 jam dan buat masa ini, dua makmal masih memadai untuk kita," katanya.

Berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap 2, katanya secara umumnya rakyat Sarawak kini mempunyai kesedaran yang tinggi tentang bahaya wabak berkenaan.

Katanya ia dapat dilihat di jalan raya yang kini pergerakan sama ada manusia atau kenderaan semakin berkurangan ekoran pematuhan PKP yang dilaksanakan.

"Bagi mencapai 100 peratus PKP itu mungkin mustahil kerana kita maklum masih ada masyarakat kita yang perlu ke klinik atau urusan lain dan mereka ini yang masih keluar.

"Kita amat berharap mendapat kerjasama semua rakyat Sarawak untuk terus berada di rumah jika tiada kepentingan keluar kerana buat masa ini ia adalah cara untuk kita terus mengekang penularan wabak ini terus berlaku," tegasnya.

  • oleh
  • Advertisement