Anda di sini

BSN Satok tumpuan penerima Bantuan Prihatin Nasional

Advertisement
Polis Bantuan BSN memastikan para pelanggan berbaris dalam jarak 1 meter.
Polis Bantuan BSN memastikan para pelanggan berbaris dalam jarak 1 meter. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Pembayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang bermula semalam menyaksikan Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Satok dipenuhi orang ramai pagi ini.

Tinjauan Utusan Borneo hari ini mendapati, orang ramai mula beratur di hadapan premis berkenaan seawal jam 8 pagi sementara menunggu dibuka jam 10 pagi bagi membuat semakan di kaunter dan mesin ATM bank berkenaan.

Kelihatan bank berkenaan turut dikawal oleh anggota polis bantuan seramai kira-kira lebih 10 orang bagi memudahkan urusan dijalankan.

Petugas dan orang ramai dilihat menggunakan penutup hidung dan mulut serta mengekalkan jarak antara satu sama lain sejauh satu meter.

Hasli Rosli, 35, berkata dia yang datang seawal jam 8 pagi tadi sudah mendapati ramai orang berbaris.

“Saya ke sini (BSN Cawangan Satok) hendak mengurus kad ATM bapa yang rosak. Bapa saya lulus sebagai pemohon BPN sebanyak RM1,600 dan kerana itu saya perlu mengatur  kad ATM bagi memudahkan bapa dapat membuat pengeluaran di mana-mana mesin ATM nanti,” katanya yang berasal dari Batu Kawa.

Bagi Sahab Morni, 60, pula berkata dia datang awal pagi kerana mahu mengelak bersesak dengan orang ramai dan menunggu terlalu lama.

"Jika saya datang lambat sudah tentu urusan membuat semakan akan mengambil masa lama disebabkan ramai orang,” katanya yang berasal dari Kampung Gersik sambil bersyukur kerana layak menerima BPN.

“BPN sebanyak RM1,600 ini amat bermakna bagi saya untuk meneruskan kelangsungan hidup menyara keluarga apatah lagi tidak dapat bekerja disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dengan wang ini, sedikit sebanyak meringankan beban saya untuk membeli barangan keperluan dapur,” kata Sahab sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana begitu prihatin dengan nasib golongan yang memerlukan.

Polis Bantuan BSN memastikan para pelanggan berbaris dalam jarak 1 meter.
Polis Bantuan BSN memastikan para pelanggan berbaris dalam jarak 1 meter. - Gambar Chimon Upon

Terdahulu, BSN dalam kenyataannya menasihatkan penerima untuk sentiasa mempraktikkan penjarakan sosial sejauh satu meter serta mengunjungi cawangan BSN sekiranya perlu saja.

Bagi penerima status pengkreditan gagal kredit dan tiada rekod, penerima dinasihatkan untuk membuat semakan kelayakan masing-masing secara atas talian terlebih dulu dengan melayari laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) (https://www.hasil.gov.my) dan https://bpn.hasil.gov.my.

"Kami juga menggalakkan transaksi melalui myBSN kepada pemegang akaun BSN dan menasihati para pelanggan agar mematuhi PKP,” katanya.

Pembayaran BPN dibayar secara berperingkat mulai 6 hingga 12 April bagi isu rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah. 

Manakala, pembayaran bagi isi rumah berpendapatan RM4,000 hingga RM8,000 akan mula dibayar pada 13 hingga 15 April.

  • oleh
  • Advertisement