Anda di sini

Bantuan benih untuk galak penduduk bercucuk tanam

Advertisement
 Madius menyampaikan sumbangan kepada salah seorang MPKK sambil disaksikan Joisin (kiri) dan Suali (kanan).
BANTUAN: Madius menyampaikan sumbangan kepada salah seorang MPKK sambil disaksikan Joisin (kiri) dan Suali (kanan).

TUARAN: Penduduk kampung disarankan untuk melakukan aktiviti penanaman khususnya di halaman rumah masing-masing sebagai persiapan menghadapi cabaran bekalan makanan pada masa akan datang.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, pada masa ini bekalan hasil pertanian masih mencukupi, namun langkah ini perlu diambil memandangkan masih belum dipastikan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan akan berakhir atau dilanjutkan.

"Bagaimana pun jika kita melihat perkembangan semasa, penularan wabak COVID-19 masih berlaku hampir di seluruh dunia. 

"Justeru, sebagai langkah awal bagi menampung bekalan makanan pada hadapan, kita menggalakan setiap kampung melalui Malis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)  meneruskan kegiatan bercucuk tanam terutama sekali di halaman rumah.

"Di Tuaran misalnya, saya akan memberi peruntukan untuk bantuan biji benih kepada MPKK dan biji benih akan diberikan mengikut tempat mereka dengan jenis tanaman yang sesuai," katanya dalam satu kenyataan selepas menyerahkan bantuan bekalan makanan kepada penduduk terjejas di Mukim Nabalu, di sini.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, penanaman itu meliputi sayur-sayuran, buah-buahan dan lain-lain tanaman yang bersesuaian.

Untuk itu katanya, MPKK di daerah tersebut diminta menghantar senarai pemohon biji benih ke Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) masing-masing untuk proses tindakan lanjut.

"Kita akan teruskan penanaman ini sepanjang tahun, malah bukan sahaja kita mahu budayakan ini tapi kita mahu ia membantu kerajaan supaya sektor pertanian ini dapat diperkasakan.

"Selain itu, kita juga mahu pengusaha-pengusaha pertanian ini ada rangkaian dengan mereka yang mempunyai teknologi, sebagai contoh melakukan jualan secara atas talian supaya boleh terus berhubung dengan pasaran yang memerlukan bekalan ini kelak," katanya.

Madius memaklumkan, garis panduan penanaman akan diedarkan pada masa terdekat melalui UPPM.

Mengulas lanjut beliau berkata, aktiviti bercucuk tanam ini tidak melanggar arahan PKP kerana sayur-sayuran dan buah-buahan juga adalah bahan-bahan penting keperluan harian sebagai makanan berkhasiat.

"Cuma semasa bercucuk tanam, jangan pula pergi ke sana kemari lalu bercerita antara satu sama lain. Biarlah penanaman dilakukan secara fokus di kawasan tanaman masing-masing agar tidak membawa kemungkinan kepada sebarang penularan penyakit termasuk Covid-19," katanya.

Hadir sama Setiausaha Politiknya, Joisin Romut dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, Suali Sikir.

  • oleh
  • Advertisement