Anda di sini

86 rumah, 5 kedai di Kedah rosak dilanda ribut

Advertisement
 Rumah yang didiami Siah Mat Amin, 70, mengalami kerosakan yang teruk berikutan hujan lebat diikuti angin kencang yang berlaku kira-kira 4 petang semalam ketika tinjauan fotoBernama di Kampung Dulang Kecil dekat Yan, semalam. — Gambar Bernama
MUSNAH: Rumah yang didiami Siah Mat Amin, 70, mengalami kerosakan yang teruk berikutan hujan lebat diikuti angin kencang yang berlaku kira-kira 4 petang semalam ketika tinjauan fotoBernama di Kampung Dulang Kecil dekat Yan, semalam. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Sebanyak 86 buah rumah dan lima premis kedai di lapan daerah di Kedah mengalami pelbagai kerosakan berikutan hujan lebat diikuti angin kencang yang berlaku kira-kira jam 4.00 petang, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Halimaton Saadiah Saad berkata daerah yang terlibat ialah Kota Setar, Kubang Pasu, Langkawi, Yan, Pendang, Pokok Sena, Sik dan Baling.

“Daerah Kota Setar mencatatkan jumlah tertinggi yang terjejas iaitu 50 rumah, diikuti Sik dengan 10 rumah dan lima kedai, Yan dan Kubang Pasu masing-masing sembilan rumah, Pendang (4), Langkawi (2) dan Pokok Sena dan Baling masing-masing dengan sebuah rumah.

“Sehingga jam 11 pagi tadi (semalam) jumlah keseluruhan rumah yang terjejas ialah sebanyak 86 buah dan lima premis kedai. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan tiada pusat pemindahan yang dibuka,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Halimaton Saadiah berkata bantuan yang sesuai kepada mangsa yang terlibat juga akan disalurkan melalui pusat khidmat di kawasan masing-masing dalam masa terdekat. — Bernama

Advertisement