Anda di sini

59 premis disanitasi di Sarawak sejak 30 Mac lalu

Advertisement
Tiong (empat kiri) bersama Wee (tiga kiri) dan Ong (dua kiri) semasa menyampaikan sumbangan di Balai Bomba dan Penyelamat Padungan, hari ini.
Tiong (empat kiri) bersama Wee (tiga kiri) dan Ong (dua kiri) semasa menyampaikan sumbangan di Balai Bomba dan Penyelamat Padungan, hari ini.

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak melakukan kerja-kerja sanitasi di 59 premis terutamanya di kawasan tumpuan awam sejak 30 Mac sehingga Isnin.

Penolong Pengarah Operasi Negeri Tiong Ling Hii berkata daripada jumlah tersebut, 18 adalah di pasar awam, 14 bangunan kerajaan, tempat ibadat (9), kawasan perumahan (7), tempat perhimpunan (6), pengangkutan (3) dan pasar raya (2).

Menurutnya, Kuching merekodkan jumlah terbanyak iaitu 25 operasi, diikuti Miri (11), Kota Samarahan (7), Limbang (5), Sibu (4), Sarikei (4), Betong (3), Sri Aman (1) dan Bintulu (1).

"Kerja-kerja sanitasi ini dilakukan setiap hari terutama di kawasan Zon Merah iaitu di Kuching serta Kota Samarahan dan kita juga ada mendapat permintaan untuk melakukan sanitasi di penjara dan MASkargo.

"Untuk makluman juga, untuk satu operasi sanitasi, seramai 10 anggota akan ditugaskan dengan dibantu oleh kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis Penyerahan Sumbangan PPE oleh Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian diwakili Presidennya Datuk Richard Wee.

Tiong selain itu menyampaikan perhargaannya di atas sumbangan tersebut dan mengharapkan agar ada lagi pihak yang sudi menyampaikan sumbangan PPE.

"Kita memang ada dibekalkan juga dengan keperluan PPE ini, tetapi terhad dan kita amat beruntung kerana ada pihak yang sudi menderma kepada kita memandangkan kebanyakan peralatan ini adalah jenis pakai buang.

Selain itu, Syarikat Home Max turut sama menyampaikan sumbangan PPE yang diwakili Pengarahnya Gary Ong.

Antara sumbangan yang disampaikan ialah baju hujan, penutup mulut dan hidung, air mineral, cecair pembasmi kuman, dan penutup kepala yang dianggarkan bernilai sekitar RM3,000.

  • oleh
  • Advertisement