Anda di sini

PPE tidak boleh dikongsi dan diguna semula: Christina

Advertisement
CHRISTINA
CHRISTINA

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menjelaskan penggunaan Alat Perlindungan Diri (PPE) di fasiliti kesihatan tidak boleh dikongsi dan diguna pakai semula.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Christina Rundi berkata, dalam pengurusan dan rawatan penyakit berjangkit, penggunaan PPE adalah langkah berjaga-jaga yang standard.

Katanya, langkah berkenaan wajib diamalkan untuk mengurangkan risiko penyebaran penyakit berjangkit sama ada melalui udara, sentuhan, cecair, atau darah.

Sehubungan itu, pihaknya menegaskan penggunaan PPE tidak boleh dikongsi dan diguna pakai semula.

"JKNS seringkali menerima pertanyaan berkenaan kekurangan PPE di fasiliti kesihatan.

"Satu unit PPE lengkap adalah terdiri daripada pelindungan kepala (cap), sarung tangan berlapis (glove), alat perlindung pernafasan (N95/ surgical mask), alat pelindung muka (face shield), gaun isolasi, apron plastik, dan pelindung kasut (boot cover).

"Sejak kejadian wabak penyakit COVID-19 di Sabah, berlaku peningkatan penggunaan PPE yang ketara dengan anggaran penggunaan PPE di hospital sekitar 1,500 hingga 2,000 unit sehari. Manakala di klinik kesihatan dan di lapangan adalah sekitar 3,000 unit sehari," katanya dalam kenyataan di sini.

Justeru katanya, PPE adalah alat yang digunakan secara pantas dan memerlukan bekalan yang berterusan.

Pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada semua penderma PPE di negeri ini.

Dalam pada itu, sehingga 5 Mac 2020, jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sabah adalah sebanyak 238 dengan penambahan 13 kes baharu.

"Daerah yang merekodkan kes baharu adalah Kota Kinabalu (lima), Kinabatangan (tiga), Penampang (dua), dan masing-masing satu kes dari Tuaran, Beaufort dan Kunak.

"Terdapat satu kes kematian COVID-19 dilaporkan di Hospital Keningau pada 4 April 2020 menjadikan Sabah merekodkan dua kes kematian akibat COVID-19 setakat ini," katanya.

Beliau berkata, sehingga 8 pagi 5 April 2020, seramai 202 pesakit COVID-19, 85 individu di bawah siasatan (PUI) dan 43 pesakit dengan 'Severe Acute Respiratory Infection' (SARI) sedang dirawat di enam hospital berpakar di seluruh Sabah.

 

  • oleh
  • Advertisement