Anda di sini

Pelajar teruja inisiatif pembelajaran dalam talian

Advertisement
 Jacqelin, kanak-kanak Tadika KEMAS Taman Rajang, Sarikei teruja membuat ulang kaji dan latihan melalui inisiatif atas talian.
TERUJA: Jacqelin, kanak-kanak Tadika KEMAS Taman Rajang, Sarikei teruja membuat ulang kaji dan latihan melalui inisiatif atas talian.

SIBU: Penutupan sekolah dan institusi pengajian tinggi dilanjutkan selaras arahan Perintah Kawalam Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini memberi cabaran baharu kepada warga pendidik memastikan pelajar terus dapat belajar.

Pembelajaran dalam talian terutama Google Classroom yang diamalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terbukti membantu guru dan pensyarah selain aplikasi Zoom bagi membolehkan interaksi secara terus dengan pelajar.

Guru dan pensyarah turut memanfaatkan media sosial seperti WhatsApp dan Telegram dengan sebaik-baiknya untuk menyampaikan pelbagai maklumat, arahan dan latihan.

Semuanya ini memastikan pembelajaran pelajar tetap lancar walaupun mereka tidak berada dalam kelas dan bilik kuliah.

Sehubungan itu, Jawai Jelaping, 32, ibu kepada dua anak perempuan menyambut baik inisiatif murni diperkenalkan kerajaan sepanjang PKP ini.

“Melalui inisiatif ini, anak-anak saya dapat menjalankan pembelajaran dan membuat latihan walaupun mereka tidak berada dalam kelas.

“Sebagai ibu, saya amat berterima kasih dan menyambut baik inisiatif dijalankan kerajaan ini,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp di sini kelmarin.

Penjawat awam di Sarikei itu berkata, pihak sekolah telah menyediakan satu perhubungan ‘link’ menyampaikan pelbagai maklumat termasuk arahan, pembelajaran dan latihan.

“Anak saya, Jacqelin Natlie Nicholas, empat tahun belajar di Tadika KEMAS Taman Rajang, Sarikei amat teruja membuat ulang kaji dan latihan melalui inisiatif ini,” jelasnya.

Senada dengan itu, seorang pengusaha inap desa di Daro, Manisah Sedri, 55, berkata ia inisiatif baik memandangkan guru tidak dapat menjalankan kelas secara formal.

“Namun, pembelajaran secara online dapat membantu anak-anak kita di rumah,” katanya dengan nada lega.

Menurutnya, selain itu juga disediakan jadual TV Pendidikan yang  memang amat membantu pelajar dalam tempoh PKP ini.

“Justeru, kita ibu bapa di rumah harus memainkan peranan sebagai guru di rumah memantau anak-anak belajar secara dalam talian dan memberi kata perangsang kepada mereka,” jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement