Anda di sini

Dua lelaki ditahan miliki dadah, sarang burung

Advertisement
 Dua suspek yang ditahan bersama dadah dan sarang burung.
DITAHAN: Dua suspek yang ditahan bersama dadah dan sarang burung.

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu menangkap dua lelaki tempatan yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di perairan Laut Terumbu Gusung, di sini.

Menurut Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohd Pajeri Ali, sepasukan anggota yang menjalankan Ops COVID-19 memberkas sebuah bot yang mencurigakan dinaiki suspek berumur 36 dan 45 tahun jam 12.03 pagi.

"Hasil pemeriksaan ditemui dua bungkus plastik lutsinar yang mengandungi hablur jernih disyaki syabu anggaran berat 50 gram dan 20 gulung timah dalam sebuah plastik.

"Turut dijumpai sebungkus plastik kuning mengandungi sarang burung, seplastik berwarna kuning mengandungi satu alat penimbang dan barangan peribadi seunit telefon bimbit," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, seunit enjin bot turut dirampas dalam operasi itu dan jumlah rampasan keseluruhan berjumlah RM21,130.

Katanya, kesemua barang rampasan dan suspek telah dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952, Seksyen 23 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998, Seksyen 25(1)(N) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 serta Enakmen Pemulihan Hidupan Liar 1997.

  • oleh
  • Advertisement