Anda di sini

COVID-19: Xavi derma 1 juta euro kepada Hospital Clinic di Barcelona

Advertisement
XAVI
XAVI

BARCELONA, Sepanyol: Bekas bintang kelab Barcelona, Xavi Hernandez, menderma 1 juta euro kepada sebuah hospital di bandar raya itu untuk membantu sistem penjagaan kesihatan negeri itu ketika berhadapan dengan pandemik koronavirus (COVID-19).

Bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu, yang kini merupakan ketua jurulatih di kelab Al-Sadd di Qatar, menderma wang kepada Hospital Clinic selepas pusat perubatan itu merayu lebih banyak bantuan dalam usaha menangani krisis kesihatan ini.

Xavi, 40, membuat sumbangan bersama teman wanitanya, Nuria Cunillera dan berkata menerusi video disiarkan di media sosial di mana wang itu akan digunakan untuk “pembelian peralatan kebersihan untuk kakitangan dan pesakit.”

Bintang semasa Barcelona, Lionel Messi, sudah menyokong permintaan hospital yang sama dengan menderma 1 juta euro ke beberapa hospital di Barcelona dan juga di negara kelahirannya, Argentina bulan lepas.

Adik beradik Alcantara, Thiago dan Rafinha, juga ada menyumbang.

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, turut menyumbang untuk membantu wilayah Catalonia dalam menangani pandemik itu apabila menderma 1 juta euro kepada Kolej Perubatan Barcelona dan Yayasan Angel Soler Daniel bulan lepas.

Festival musim dalam talian La Liga Sepanyol pada awal minggu telah mengumpul lebih dari satu juta yang akan digunakan untuk membeli peralatan perubatan di negara itu.

Sepanyol adalah antara terkesan teruk dengan pandemik COVID-19. Angka pada hari Sabtu menunjukkan 11,744 orang telah meninggal dunia akibat pandemik ini di Sepanyol – jumlah kedua tertinggi di belakang Itali dan sejumlah 124,736 orang telah dijangkiti.

Naib presiden kelab Barcelona, Jordi Cardoner adalah antara mereka yang disahkan positif COVID-19 dalam beberapa hari yang lalu. Beliau ketika ini mengasingkan diri di rumahnya dan tidak memerlukan rawatan hospital.

Impak kewangan dari COVID-19 juga dirasai di Sepanyol dan Barca terus mencari jalan untuk mengurangkan kesan ekonomi ke atas mereka.

Selepas mengumumkan satu persetujuan untuk pemain menerima potongan gaji sehingga 70 peratus, kelab sekarang mencari pemain yang tamat kontrak pada musim panas ini kerana bimbang dana perpindahan juga akan dikurangkan. — AFP

Advertisement