Anda di sini

COVID-19: Dua kluster dikaitkan perhimpunan agama, majlis perkahwinan 

Advertisement
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (tengah) bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Gambar Bernama
Dr Noor Hisham (tengah) bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Dua kluster COVID-19 yang berkait rapat dengan perhimpunan besar-besaran dikenal pasti antara penyumbang kepada peningkatan mendadak kes positif COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati dua kluster terbabit melibatkan persidangan keagamaan di Kuching, Sarawak dan majlis perkahwinan di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Beliau berkata, program keagamaan itu berlangsung di sebuah gereja selama tiga hari.

“Setakat ini, seramai 83 orang telah disahkan positif COVID-19 daripada kluster ini iaitu dengan dua kematian (kes ke-358 dan kes ke-2,471), lima kes kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 50 kes sedang dirawat di hospital.

“Sementara itu, 25 kes bawah pemerhatian di pusat kuarantin serta satu kes discaj yang telah pulih sepenuhnya,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di KKM, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata bagi kluster majlis perkahwinan pula, ia merupakan satu kluster jangkitan COVID-19 yang kemudiannya membentuk jangkitan sehingga generasi kelima.

“Sehingga 6 April 2020, 88 kes telah disahkan positif COVID-19 daripada kluster ini, termasuk satu kes dirawat di Unit Rawatan Intensif (ICU). Namun tiada kes kematian dilaporkan berkaitan dengan kluster ini,” tambahnya.

Beliau berkata, kedua-dua kluster ini melibatkan jangkitan COVID-19 sehingga generasi kelima.

Untuk rekod dua kluster itu antara kluster terbesar berkaitan perhimpunan besar-besaran, selepas kluster perhimpunan di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Susulan pendedahan dua kluster itu, Dr Noor Hisham menyeru masyarakat supaya tidak menyalahkan atau mendiskriminasi pesakit atau kumpulan yang dikaitkan dengan kluster jangkitan COVID-19.

“Janganlah kita stigmakan mereka. Apa yang penting, adalah kita membantu mengesan dan merawat jangkitan COVID-19 kalangan mereka yang terlibat, keluarga dan kontak mereka,” katanya. - Bernama 

Advertisement