Anda di sini

Ceburi khidmat penghantaran, pemasaran dalam talian ketika waktu mencabar - Dr Mahathir 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Dalam menghadapi waktu-waktu yang mencabar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memerangi penularan wabak COVID-19 ini, Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) berkata perkhidmatan penghantaran dan pemasaran dalam talian boleh menjadi bidang baharu bagi mereka yang pekerjaannya terjejas.

“Ketika waktu ini, khususnya ramai orang kehilangan pekerjaan, antara lain yang anda boleh buat ialah (yang berkaitan dengan) industri pengangkutan, terutamanya penghantaran. Sekiranya anda mempunyai kereta mungkin anda boleh menyediakan khidmat penghantaran ke kawasan anda, jadi anda boleh mencipta pekerjaan baharu.

“Sistem penghantaran memerlukan perhatian kerana penghantaran peribadi sangat diperlukan. Satu pekerjaan berkurang, satu lagi mengambil alih,” kata bekas perdana menteri itu dalam temu bual khas ‘MyPerintis: A Morning Tea with Tun Mahathir’ yang disiarkan secara langsung menerusi media sosial.

Program itu dikendalikan oleh MyPerintis (Yayasan Perintis Malaysia), sebuah badan bukan kerajaan yang diasaskan tahun lepas untuk menggalakkan gaya hidup belia yang aktif dan bermakna.

 Beliau menambah, terdapat permintaan untuk meningkatkan sistem penghantaran kerana banyak produk perlu dihantar, justeru, khidmat penghantaran adalah penting buat masa ini.

“Sistem penghantaran pada masa ini adalah keperluan kerana sekiranya anda tidak dapat menghantar, anda tidak dapat menjual produk. Sistem penghantaran yang bagus adalah penting.

“Tanpa perlu meninggalkan rumah, tanpa perlu pergi ke kedai, anda masih boleh meningkatkan produktiviti kerana anda boleh memesan apa sahaja dan membayar menggunakan kad kredit dan segalanya akan dihantar terus kepada anda. Ini berlaku apabila adanya sistem penghantaran yang baik,” katanya.

 Beliau juga menegaskan bahawa industri kargo perlu berfikir bagaimana dapat mengambil kesempatan ini kerana isu ini telah lebih berkembang berbanding sebelumnya.

“Sebelum ini, tidak ramai menggunakannya (sistem kargo/penghantaran) tetapi sekarang kita boleh beli atau jual barang yang lebih besar. Seperti China mengeksport produk kesihatan ke negara lain. Jadi, kita perlu ambil kesempatan dalam sistem penghantaran ini supaya anda boleh memasarkan produk ke pasaran lebih besar, tidak hanya terhad ke negara kita tetapi pasaran antarabangsa yang lebih besar,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata terdapat peningkatan orang yang menggunakan pemasaran dalam talian seperti Shopee dan Lazada tetapi malangnya, tidak ramai yang menyedari hal ini dan bagaimana menggunakan pemasaran dalam talian untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Beliau berkata orang ramai perlu mempelajari bagaimana membuat pemasaran dalam talian dan bagaimana untuk meningkatkan produktiviti mereka menerusi pendigitalisan dan teknologi baharu lain tetapi perkara ini memerlukan beberapa pengajaran.

“Kita mempunyai ramai orang muda di Malaysia yang sangat bagus dalam perniagaan dan mereka perlu memberitahu yang lain...langkah demi langkah bagaimana untuk mendigitalkan pemasaran atau produk mereka. Tetapi kini kita boleh mengajar mereka menerusi internet. Kita tidak perlu berjumpa orang kerana melalui internet, kita boleh lihat apa sahaja yang perlu dilakukan.

“Sebagai contoh, sekiranya anda ingin belajar mengenai enjin, anda boleh menunjukkan dengan tepat bagaimana ia boleh dilakukan secara berulang kali menerusi internet. Daripada situ, anda boleh belajar kemahiran baharu, lakukan perkara yang anda tidak pernah lakukan sebelum ini dan dapatkan wang daripada perkara itu melalui internet dan pemasaran dalam talian,” katanya. - Bernama 

Advertisement