Anda di sini

Carragher, Collymore kecewa dengan tindakan Liverpool

Advertisement
CARRAGHER
CARRAGHER

LONDON, England: Liverpool dituduh mengkhianati “moral dan nilai” mereka Sabtu lepas kerana mengguna pakai langkah skim cuti dari bertugas kerajaan untuk kakitangan bukan pemain sepanjang pandemik koronavirus (COVID-19) ketika pemain bintang Liga Perdana Inggeris diberi amaran bahawa kekurangan sejumlah 200 juta pound dalam tabung kerajaan jika 30 peratus potongan gaji diperkenalkan.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, berkata mereka akan menambah wang rakyat yang diperuntukkan dari kerajaan untuk memastikan kakitangan yang diberikan cuti sementara menerima gaji penuh mereka.

Ia menyusuli langkah yang diambil oleh Newcastle, Tottenham, Bournemouth dan Norwich untuk mengguna pakai skim itu, di mana majikan boleh menuntut sehingga 80 peratus dari gaji pekerja dalam skim cuti dari bertugas.

Tetapi bekas bintang Liverpool, Jamie Carragher dan Stan Collymore, menyelar langkah yang diambil oleh juara Eropah itu, yang pada bulan Februari lalu mengumumkan keuntungan sebelum cukai 42 juta pound untuk musim 2018/2019.

“(Pengurus) Jurgen Klopp menunjukkan belas kasihan di awal pandemik ini, pemain senior terlibat sepenuhnya dalam perbincangan tentang pemain liga melakukan potongan gaji. Dan tiba-tiba semua penghormatan dan niat baik itu hilang, @LFC (Liverpool) amat mengecewakan,” kicau Carragher dari akaun rasmi Twitter beliau.

Collymore lebih lantang dengan membuat kicauan di Twitter: “Saya tidak tahu mana-mana penyokong Liverpool yang tidak berasa kecewa dengan kelab kerana melaksanakan skim cuti dari bertugas kerajaan ini.”

Seorang lagi bekas bintang Liverpool, Dietmar Hamann, juga berkata: “Mengejutkan dengan berita @LFC melaksana skim cuti dari bertugas untuk menuntut 80 peratus gaji kakitangan bukan pemain dari kerajaan.

“Ia bukan tujuan sebenar skim ini. Berbeza dengan moral dan nilai kelab yang saya ketahui sebelum ini.”

Liverpool berkata kakitangannya akan dibayar gaji sepenuhnya untuk memastikan tiada siapa mengalami masalah kewangan dari krisis COVID-19.

Satu kenyataan dari kelab berkata: “Malah sebelum keputusan memberi cuti dari bertugas kepada kakitangan, ada komitmen bersama di peringkat senior kelab – dalam dan luar padang – dengan semua orang bekerja untuk satu penyelesaian yang menjamin pekerjaan sepanjang tempoh krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini.”

Sementara itu, Persatuan Pemain Profesional (PFA) England, memberi amaran kekurangan 200 juta pound dalam pendapatan cukai kerajaan British jika satu potongan 30 peratus diperkenalkan untuk pemain.

“Semua pemain Liga Perdana Inggeris mahu untuk dan bersedia, memainkan peranan dalam memberikan sumbangan kewangan penting dalam saat yang sukar ini,” kata PFA dalam satu kenyataan selepas pertemuan dengan Liga Perdana.

“Kami mengalu-alukan peluang untuk membincangkan perkara ini dan kami tetap berasa gembira untuk meneruskan rundingan.”

Bagaimanapun, PFA menegaskan ia adalah terlalu mudah untuk mengkritik pemain kaya-raya kerana tidak bersetuju dengan mudah kepada pemotongan gaji.

“Cadangan pengurangan 30 peratus gaji dalam tempoh 12 bulan bersamaan dengan lebih dari  500 juta dalam pengurangan gaji dan kerugian dalam sumbangan cukai melebihi 200 juta kepada kerajaan,” tambah kenyataan PFA

“Apa kesan kepada kerugian pendapatan kerajaan kepada Perkhidmatan Kesihatan Awam (NHS)?”

Liga Perdana kelihatan ketinggalan berbanding liga lain di Eropah dalam respon mereka kepada krisis COVID-19 dan dituduh oleh seorang ahli parlimen British sebagai beroperasi “dalam kekosongan moral”.

Di Sepanyol, pemain kelab Barcelona dan Atletico Madrid sudah bersetuju dengan pemotongan gaji sehingga 70 peratus sementara pemain di kelab Juventus di Itali, akan dibayar dengan pengurangan gaji untuk empat bulan akan datang.

Pemain pertahanan antarabangsa England, Danny Rose, yang dipinjamkan di Newcastle United dari Tottenham, memberitahu penyiaran BBC di mana para pemain “berminat untuk melakukan sesuatu”.

 “Saya hanya boleh bercakap bagi pihak saya sendiri tetapi saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyumbang sejumlah dari gaji saya kepada mereka yang berada di barisan hadapan dalam krisis ini dan kepada mereka yang  terkesan dengan apa yang berlaku,” kata beliau.

Jumaat lepas, sebuah hospital di London mendedahkan bahawa Rose adalah individu yang memberikan sumbangan 19,000 pound.

Kelab Burnley sementara itu mengeluarkan amaran tentang kemungkinan masalah kewangan dari pandemik ini dengan mendakwa mereka akan mengalami kerugian sehingga 50 juta pound jika tidak dapat menamatkan musim ini.

Burnley berkata musim 2019/2020 mungkin hanya akan disambung semula jika keadaan “selamat dan bersesuaian untuk dilakukan”.

Liga Perdana juga bersetuju menyumbang kepada 125 juta pound kepada Liga Bola Sepak Inggeris dan Liga Kebangsaan dan juga menyumbang 20 juta pound untuk sokongan badan amal untuk NHS dan kumpulan lain. — AFP

Advertisement