Anda di sini

Ancelotti mahu kelab berlaku adil

Advertisement

PARIS: Sebelum Liga Perdana Inggeris (EPL) bermula, ia mesti memastikan semua kelab menyambung latihan pada hari yang sama, kata pengurus Everton, Carlo Ancelotti kepada akhbar di Perancis, L’Equipe, dalam satu wawancara yang diterbitkan pada Jumaat.

EPL tertangguh kerana pandemik koronavirus. Ia dijadual bersambung pada 30 April, tetapi para pengerusi kelab bermesyuarat menerusi sidang video pada Jumaat dan dijangka menuntut agar tarikh ditunda lagi.

“Salah satu perkara penting ialah semua kelab menyambung latihan pada waktu yang sama, tiada perbezaan berlaku, tidak ada pihak yang ada kelebihan ke atas pihak lain,” kata pengurus berusia 60 tahun dari Itali itu kepada L’Equipe.

“Pemain pada hari ini berupaya untuk bersiap sedia dari segi fizikal dalam masa dua minggu.”

Ancelotti, yang mengambil alih tugas di Everton pada Disember lalu, memenangi Liga Juara-Juara sebagai pemain dan jurulatih selain membimbing pasukan untuk memenangi kejuaraan liga di Itali, Jerman, Perancis dan England.

Selepas lebih 45 tahun dalam sukan itu, dia mendapati diri di dalam dunia tanpa bola sepak, asyik dengan kesan dahsyat akibat pandemik koronavirus, khususnya di negaranya Itali.

Tidak pasti mengenai apa yang akan berlaku selepas ini, dia tenang menghadapi keadaan yang tidak menentu.

Terbatas kepada rumahnya di Liverpool dan tanpa pemain untuk dilatih atau perlawanan untuk ditontoni, dia tidak tergesa-gesa untuk kembali menggalas tugas sebagai pengurus.

“Ia sedikit aneh bagi saya. Ia adalah sesuatu yang saya tidak pernah buat,” katanya.

Seluruh skuad Everton tinggal di England dan tiada didapati positif bagi COVID-19, katanya.

“Saya sentiasa berhubung dengan pemain. Saya tidak menelefon mereka dengan kerap tetapi, bersama kakitangan, kami menghantar kepada mereka program latihan yang kami kemas kini untuk memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan fizikal yang baik. Walaupun saya tahu keadaan fizikal mereka baik.”

Jika liga bersambung juga pada 30 April, para pemain tidak mengadakan latihan bersama selama tujuh minggu.

“Ia adalah lama, tetapi pemain tidak ada masalah untuk mengambil bahagian dalam perlawanan selepas cuti selama tujuh atau lapan minggu. Sudah tentulah mereka tidak cergas 100 peratus pada waktu mereka kembali, tetapi mereka mempunyai keupayaan untuk melakukannya, perkara itu tidak diragui,” katanya. “Anda berlatih ketika anda bermain.”

Dia berkata dia bercakap dengan rakan-rakan dan saudara-mara di Itali menerusi telefon.

“Ia sangat menyakitkan untuk mendengar bahawa begitu ramai rakan senegara saya meninggal dunia setiap hari.”

Walaupun dia berkata pandemik itu “umpama satu peperangan”, Ancelotti tetap optimis mengenai masa depan.

“Ia adalah malang sekali untuk meratapi begitu banyak kematian, tetapi krisis ini akan membawa balik masyarakat kepada perhubungan yang berlainan dan lebih manusiawi,” katanya.

“Kita semakin sedar, pada waktu berkurung, bahawa ia adalah penting bagi seorang anak perempuan dan bapanya atau seorang suami dan isteri untuk bercakap dengan satu sama lain dan lebih kerap berkomunikasi. Kita mendapatkan semula keinginan untuk bercakap dan bukan sekadar meletakkan hidung kita pada telefon.

“Kita menghabiskan seluruh masa kita berlari dan ia rasa bagus untuk berehat.

“Bola sepak bukan keutamaan saya pada waktu ini. Malah saya tidak peduli sama ada kita akan kembali pada Jun, Julai atau Ogos. Saya benar-benar tidak peduli. Ada nyawa yang kita perlu fikirkan sekarang.” — AFP

Advertisement