Anda di sini

123 rakyat Malaysia yang terkandas di Nunukan akan tiba di Tawau esok

Advertisement
SARIFUDDIN
SARIFUDDIN

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan membawa pulang seramai 123 rakyat Malaysia yang terkandas di Nunukan, Kalimantan Utara, pada esok (Selasa) dengan kerjasama Kedutaan Malaysia.

Pembantu Menteri Kewangan merangkap penyelaras usaha Kerajaan Negeri terbabit, Sarifuddin Hata berkata angka itu berdasarkan jumlah mereka yang sudah mendaftar.

“Setakat ini, 123 orang sahaja akan dibawa pulang ke Malaysia berdasarkan rekod yang sudah diluluskan kedutaan,” katanya, semasa dihubungi Utusan Borneo di sini.

Sarifuddin berkata status rakyat Malaysia yang belum berdaftar pula dimasukkan ke senarai menunggu kerana keutamaan diberikan kepada mereka yang tampil mendaftar.

Kesemua mereka yang dibawa pulang itu juga akan terus dihantar ke pusat kuarantin Institut Pendidikan Guru (IPG) Tawau di Balung untuk menjalani kuarantin 14 hari.

Terdahulu, nasib mereka terkandas di negara jiran mendapat perhatian ramai selepas salah seorang daripada mereka, Ahmad Rizamsyah Mohd Noor, 28, memuat naik video rayuan melalui facebook dan menjadi tular.

Pada masa sama, Utusan Borneo turut membuat laporan termasuk menemuramah Rizamsyah yang berada di Nunukan serta mendapatkan maklum-balas pihak berkuasa.

Nasib rakyat Malaysia di negara jiran dikatakan berada dalam keadaan tertekan serta terdesak akibat kesulitan yang terpaksa dihadapi khususnya masalah kewangan.

Berikutan itu juga, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta agensi-agensi berkaitan mengambil tindakan termasuk mengarahkan Sarifuddin menyelaras usaha berkenaan.

Ketika dihubungi, Rizamsyah mengakui tidak sabar balik ke tanahair malah bersyukur kerana masalah mereka diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri dan pihak berkaitan.

Utusan Borneo difahamkan terdapat 168 rakyat Malaysia yang terkandas di pulau itu susulan penutupan pintu masuk di Terminal Feri Tawau sejajar penguatkuasan Perintah Kawalan Pergerakan.

  • oleh
  • Advertisement