Anda di sini

Rashford kagumi usaha orang awam sumbang derma bantu FareShare

Advertisement
RASHFORD
RASHFORD

LONDON: Reaksi orang awam yang memberi sumbangan derma kepada badan amal kebajikan untuk membantu menyediakan makanan bagi kanak-kanak yang memerlukannya ekoran rayuan dari Marcus Rashford telah mengagumkan penyerang Manchester United (MU) itu.

Pemain antarabangsa England berusia 22 tahun itu bekerjasama dengan FareShare, sebuah badan amal kebajikan pengagihan makanan, selepas sekolah dalam kawasan Manchester ditutup kerana pandemik COVID-19.

Derma setakat Rabu lepas berjumlah £134,000 (RM804,000) yang melepasi sasaran awal £100,000 (RM600,000).

Jumlah itu – yang menurut Rashford adalah “angka yang amat besar” – akan menyediakan makanan untuk kira-kira 400,000 orang kanak-kanak.

FareShare mengagihkan makanan kepada 10,943 badan amal termasuk sekolah, pusat komuniti dan kelab sarapan.

Rashford mahu memastikan kanak-kanak yang kini duduk di rumah mereka menerima akses kepada makanan percuma yang mereka selama ini terima di sekolah.

“Jumlah orang yang tidak diberi makanan adalah tidak masuk akal,” katanya kepada akhbar The Times.

“Ia hampir satu juta kanak-kanak (924,325) yang dibantu setiap minggu oleh FareShare.

“Sumbangan yang masuk dengan begitu cepat menunjukkan kebersamaan rakyat.”

Rashford, yang memberi sumbangan derma yang terbesar pernah diterima badan amal itu dalam tempoh setahun, telah menyelidiki logistik bagi mengedar makanan dengan membaca buku perniagaan.

“Menghimpunkan makanan adalah satu perkara, tetapi pengagihan juga sama penting kerana, jika tidak, ia adalah mustahil untuk menghantar makanan kepada orang ramai,” katanya.

Selain kerja amalnya, Rashford menghabiskan masa dengan perkara yang lebih santai seperti menjadi hakim satu pertandingan sajak dan belajar bahasa isyarat.

Dia juga melibatkan diri dalam satu perdebatan dalam media sosial dengan legenda bola sepak England Gary Lineker mengenai pemain yang paling menarik sepanjang zaman.

Lineker memilih legenda Perancis, Zinedine Zidane. — AFP

Advertisement