Anda di sini

Neymar turut sumbang derma untuk perangi COVID-19

Advertisement
NEYMAR
NEYMAR

RIO DE JANEIRO: Neymar telah menderma AS$1 juta (RM4.5 juta) untuk menangani impak COVID-19 baharu di negaranya Brazil, kata rangkaian TV SBT.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu, pemain bola sepak yang menerima pendapatan ketiga tertinggi di dunia, menderma sebahagian daripada wang tersebut kepada Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), dan bakinya kepada sebuah tabung kebajikan yang dilancarkan oleh rakannya Luciano Huck, seorang pengacara TV di Brazil, kata laporan berkenaan.

Pejabat media penyerang itu enggan membuat kenyataan dan hanya berkata, “Kami tidak pernah bercakap mengenai sumbangan derma atau jumlah.”

Neymar, 28, mengikuti contoh rakannya di PSG, Kylian Mbappe, yang pada bulan lepas membuat apa yang digambarkan sebagai satu sumbangan derma besar – jumlah tidak didedahkan – kepada sebuah badan amal di Perancis untuk membantu menangani impak COVID-19.

Huck, yang telah disebut-sebut sebagai calon potensi dalam pilihan raya presiden pada 2022 di Brazil, melancarkan tabungnya untuk membantu kawasan kejiranan yang miskin di Rio de Janeiro dan khususnya terdedah kepada COVID-19.

Sumbangan derma itu dibuat ketika pemain bola sepak yang bergaji tinggi berdepan dengan tekanan untuk melepaskan sebahagian daripada gaji mereka di tengah-tengah krisis yang sedang berlaku, yang sudah melumpuhkan dunia sukan dan menimbulkan masalah bagi beberapa kelab untuk membayar gaji kakitangan mereka.

Neymar menunggu pandemik berakhir di villanya yang mewah di Mangaratiba, sebuah bandar peranginan di luar Rio.

Dia berdepan dengan kritikan pada minggu lepas setelah dia digambar sedang bersantai dengan sekumpulan rakan di sebuah gelanggang bola tampar pantai, pada waktu separuh daripada populasi dunia – termasuk kebanyakan tempat di Brazil – dalam keadaan berkurung untuk menyekat penularan virus berkenaan. — AFP

Advertisement