Anda di sini

Bayern Munich kekalkan Flick sebagai jurulatih

Advertisement
 Gambar fail menunjukkan Flick (tengah) mengawasi pasukannya menjalani sesi latihan di Qatar, Doha. — Gambar AFP
KEKAL: Gambar fail menunjukkan Flick (tengah) mengawasi pasukannya menjalani sesi latihan di Qatar, Doha. — Gambar AFP

BERLIN: Kelab gergasi Bundesliga Jerman Bayern Munich telah memberi kontrak baharu kepada jurulatih Hansi Flick untuk mengekalkannya di kelab itu sehingga 2023, kelab tersebut mengumumkan pada Jumaat.

“Bayern sangat gembira dengan kerja Hansi Flick. Pasukan telah berkembang dengan baik di bawah kendaliannya dan mempamerkan permainan bola sepak yang menarik,” Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab Karl-Heinz Rummenigge menyebut dalam satu kenyataan.

Flick, bekas pembantu kepada jurulatih pasukan kebangsaan Jerman, Joachim Loew, mengambil alih tampuk di Bayern pada November lalu selepas pengurus sebelumnya Niko Kovac dipecat.

Pada mulanya dilantik sebagai penyelesaian sementara, pengurus berusia 55 tahun itu membimbing Bayern dari tempat keempat untuk kembali semula ke tempat teratas dalam liga, dan dibalas dengan kontrak sehingga akhir musim ini.

Dengan 18 kemenangan dalam 21 perlawanan kompetitif sebagai pengemudi, Flick meletakkan Bayern di landasan untuk melanjutkan rekod dengan memenangi kejuaraan Bundesliga kelapan berturut-turut sebelum musim ini diganggu oleh krisis COVID-19.

“Bola sepak sedang menghadapi cabaran besar. Kita percaya Hansi adalah ketua jurulatih yang sesuai untuk waktu sekarang,” kata pengarah sukan Hasan Salihamidzic.

Sementara itu Rummenigge memuji “kualiti kemanusiaan” dan “empati” Flick.

Bayern merupakan kerja pertama Flick sebagai ketua jurulatih dalam bola sepak kelab liga utama.

Walaupun agak mentah pada peringkat kelab, jurulatih itu ternyata popular di kalangan para pemain kanan Bayern yang semakin hampa di bawah Kovac.

Bekas pemain antarabangsa Jerman, Thomas Mueller, khususnya telah berkembang di bawah kepimpinan baharu, kerana dia pernah bekerja bersama Flick dalam pasukan kebangsaan.

Flick merupakan orang kanan Loew, pengurus pasukan kebangsaan Jerman, selama lapan tahun bermula pada 2006, untuk membantu membimbing negaranya sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir dalam lima kejohanan besar berturut-turut.

Selepas Jerman memenangi Piala Dunia di Brazil pada 2014, Flick, menjadi pengarah sukan Persatuan Bola Sepak Jerman, tetapi meletak jawatan pada 2017.

Seorang pemain tengah untuk Bayern pada zaman dia masih bermain, dia kembali ke Munich sebagai anggota kakitangan kejurulatihan Kovac pada Julai tahun lepas.

Dia mengambil alih tugas sepenuhnya pada November lalu selepas pembabitan pengurus dari Croatia itu yang tidak menggembirakan berakhir dengan kekalahan 5-1 kepada Eintracht Frankfurt, yang meletakkan Bayern empat mata dari tempat teratas. — AFP

Advertisement