Anda di sini

AirAsia tawar Kempen ‘Save Our Shops’ bantu peniaga susulan PKP

Advertisement

KUCHING: AirAsia menawarkan sumber sedia ada kepada semua peniaga tempatan, bermula dengan mereka yang berada di Semenanjung Malaysia.

Ia berikutan situasi semasa wabak Koronavirus (COVID-19) dan langkah yang telah diambil, termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah mengubah landskap cara perniagaan dijalankan.

“Kempen Save Our Shops (S.O.S) bagi peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana membantu sebanyak mana peniaga tempatan dan AirAsia menawarkan pelbagai sumber.

“Antaranya OURSHOP, platform e-dagang AirAsia akan dihoskan di laman web airasia.com, yang mempunyai jumlah trafik yang ketara.

“Produk yang dijual melalui OURSHOP akan dihantar melalui Teleport, cabang logistik AirAsia,” katanya dalam kenyataannya semalam.

Kempen itu juga akan membolehkan peruncit untuk mendaftar tanpa komisen dan tanpa yuran penyenaraian untuk memasarkan produk mereka di OURSHOP, sepanjang bulan April.

Bagaimanapun, peruncit hendaklah bertanggungjawab ke atas caj transaksi perbankan sebanyak 2 peratus untuk setiap jualan dibuat, tambahnya.

Peniaga tempatan yang berminat untuk menjadi peruncit boleh mendaftar di www.ourshop.com/seller.

Banyak peniaga kecil menerima kesan berikutan penularan wabak ini. Justeru, AirAsia ingin memainkan peranan dalam membantu sebanyak mungkin peniaga tempatan di saat yang memerlukan ini.

“Kami mempunyai platform dan infrastruktur yang tepat, dan dalam tempoh penangguhan perjalanan ini, ini adalah masa terbaik untuk memanfaatkan sumber pihaknya.

“Ia bagi kegunaan yang baik dengan menawarkan bantuan kepada mereka yang memerlukan kerana pasaran semasa dibanjiri permintaan tinggi untuk pembelian dalam talian dan perkhidmatan penghantaran.

“OURSHOP dan Teleport adalah penyelesaian kepada permasalahan ini,” tegasnya.

OURSHOP menawarkan komisen sifar untuk peruncit yang ingin memasarkan produk mereka di OURSHOP sepanjang bulan April untuk membantu para peniaga.

Selain daripada komisen sifar, peruncit akan dapat memanfaatkan jumlah trafik yang tinggi di laman web airasia.com. Peruncit juga boleh mendapat manfaat daripada kepakaran e-dagang OURSHOP dan infrastruktur logistik Teleport.

OURSHOP adalah pasaran e-dagang, milik AirAsia untuk memacu pertumbuhan produk tempatan dengan membangunkan perniagaan tradisional kecil dan sederhana untuk bersedia menembusi pasaran e-dagang.

Di samping itu, tetamu juga boleh menerima mata ganjaran AirAsia BIG dengan setiap pembelian dibuat, dan juga menebus mata ganjaran AirAsia BIG untuk membayar perbelanjaan mereka.

Untuk maklumat lanjut, layari teleport.asia atau menerusi media sosial kami di Facebook, Twitter dan Instagram.

Advertisement