Anda di sini

AirAsia lancar kempen SOS bantu perniagaan terjejas oleh COVID-19

Advertisement
 
 

KUALA LUMPUR: AirAsia Group melancarkan kempen “Save Our Shops” (SOS) untuk membantu perniagaan tempatan yang terjejas teruk oleh COVID-19 dengan memasarkan produk mereka melalui platform e-dagang, OURSHOP.

Dalam video di Facebook, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Datuk Kamarudin Meranun berkata OURSHOP akan dihoskan di laman webnya, airasia.com, yang menerima trafik yang tinggi dan produk yang dijual melalui platform itu akan dihantar menerusi cabang logistiknya, Teleport.

"Kami mempunyai platform dan infrastruktur yang sesuai dan dalam tempoh sekatan perjalanan ini, apa lagi cara terbaik untuk menggunakan sumber yang kami ada selain daripada membantu mereka yang memerlukannya," menurut AirAsia dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Tony Fernandes berkata kempen itu akan membolehkan peniaga mendaftar tanpa sebarang fi penyenaraian dan komisen untuk memasarkan produk mereka di OURSHOP sepanjang April.

Bagaimanapun, kedai-kedai ini perlu menampung caj transaksi perbankan sebanyak dua peratus bagi setiap jualan yang dibuat, menurut AirAsia.

Produk yang memenuhi syarat termasuklah barangan runcit, keperluan harian, makanan dan minuman, produk kecantikan dan barangan isi rumah. - Bernama 

Advertisement