Anda di sini

Kemudahan di Kompleks Sukan seluruh Sabah terjaga sepanjang PKP

Advertisement
TERRANCE.
TERRANCE.

KOTA KINABALU: Kemudahan di Kompleks Sukan di seluruh negeri ini tetap terjaga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengurus Besar Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS), Terrance Pudin berkata, kemudahan boleh digunakan pada bila-bila masa sebaik sahaja Kompleks Sukan dibuka semula untuk orang awam dan atlet.

"Buat masa ini semua Kompleks Sukan di bawah LSNS ditutup sehingga PKP berakhir. Notis penutupan buat masa ini adalah sehingga 14 April. Ia mula ditutup sejak penguatkuasaan PKP pada 18 Mac lalu.

"Kecuali Pengawal Keselamatan yang bertugas 24 jam, operasi pejabat lain LSNS ditutup. Bagaimanapun kami ada sediakan jadual khusus kepada pekerja untuk menyelenggara kemudahan-kemudahan sukan," kata Terrance ketika dihubungi di sini.

 Pintu masuk utama Stadium Likas Kompleks Sukan Kota Kinabalu ditutp separuh dan dipaparkan notis penutupan semua kemudahan sukan dan asrama sehingga 14 April.
TUTUP: Pintu masuk utama Stadium Likas Kompleks Sukan Kota Kinabalu ditutp separuh dan dipaparkan notis penutupan semua kemudahan sukan dan asrama sehingga 14 April.

Kerajaan Malaysia telah menguatkuasakan dua fasa PKP di seluruh negara bagi mengekang penularan  wabak COVID-19. Fasa pertama PKP adalah pada 18-31 Mac tetapi dilanjutkan untuk fasa kedua pada 1-14 April.

Terrance berkata, sepanjang PKP itu,  jadual kerja penyelenggara adalah secara bergilir dengan setiap giliran hanya berkerja selama dua jam.

Beliau berkata, pusat akuatik dan padang bola sepak adalah antara yang perlukan penjagaan rapi.

"Padang bola perlu disiram terutama sekarang ini musim kemarau. Kualiti air di pusat akuatik juga perlu dijaga.

"Semua yang perlukan penjagaan rapi sudah kami ambil maklum bagi memastikan kemudahan sukan sentiasa dalam keadaan baik dan sedia digunakan bila-bila masa apabila Kompleks Sukan dibuka semula," kata Terrance.

Sehubungan dengan itu katanya, orang ramai termasuk atlet tidak perlu risau dengan keadaan kemudahan di Kompleks Sukan  negeri ini sepanjang tempoh PKP.

Sabah mempunyai 16 Kompleks Sukan yang diletakkan di bawah jagaan LSNS.

  • oleh
  • Advertisement