Anda di sini

Wimbledon dibatalkan buat kali pertama sejak Perang Dunia Ke-II

Advertisement
(Kiri) DJOKOVIC dan HALEP
(Kiri) DJOKOVIC dan HALEP

LONDON, England: Penganjur kejohanan tenis Grand Slam Wimbledon, membatalkan kejohanan tenis tertua di peringkat Grand Slam itu buat kali pertama sejak Perang Dunia Ke-II ketika pandemik koronavirus (COVID-19) semakin menambah kesan ke atas kalendar sukan dunia.

Pembatalan satu-satu kejohanan Grand Slam di permukaan rumput yang berlangsung di Kelab Seluruh England itu menyebabkan musim ini semakin ‘murung’, dengan tiada kejohanan tenis akan beraksi sehingga pertengahan bulan Julai.

“Kecewa,” kata bekas juara lapan kali kejohanan, Roger Federer sementara juara tujuh kali bahagian wanita, Serena Williams, berkata beliau terkejut dengan keputusan itu.

Wimbledon dijadual berlangsung selama dua minggu bermula 29 Jun, dengan Novak Djokovic dan Simona Halep masing-masing mempertahankan kejuaraan perseorangan bahagian lelaki dan wanita.

Tetapi pengurusan kejohanan terpaksa tunduk kepada keadaan yang tidak dapat dielakkan Rabu lepas dengan berkata dalam satu kenyataan di mana mereka terpaksa membuat keputusan dengan “sangat berat hati dan kesal”.

Pengerusi Kelab Seluruh England, Ian Hewitt, berkata keputusan itu tidak diambil dengan mudah.

“Ia dengan rasa berat tanggungjawab kami untuk menganjurkan kejohanan ini, yang hanya kali terakhir dibatalkan ialah semasa perang dunia,” kata beliau.

“Tetapi selepas menimbangkan segala kemungkinan dan senario, kami percaya bahawa ia adalah satu langkah dalam krisis dunia ketika ini di mana ini adalah keputusan yang tepat untuk membatalkan kejohanan pada tahun ini.”

Halep juga menggunakan akaun rasmi beliau di Twitter untuk meluahkan kekecewaannya.

“Sangat sedih mendapat tahu (kejohanan) Wimbledon tidak akan berlangsung tahun ini,” kata beliau. “Final tahun lepas akan sentiasa diingati sebagai salah satu hari paling menggembirakan dalam kehidupan saya tetapi kita kini mengharungi sesuatu yang lebih dari sukan tenis dan Wimbledon akan kembali. Dan ia lebih bermakna di mana saya masih boleh mempertahankan kejuaraan saya untuk satu tahun lagi.”

Keputusan untuk membatalkan kejohanan itu amat dijangkakan, dengan dunia ketika ini bergelut menangani penularan COVID-19, yang telah menjangkiti lebih dari 840,000 orang di seluruh dunia dan meragut lebih dari 40,000 nyawa.

Ia juga menyebabkan kejohanan dalam Jelajah ATP dan WTA membatalkan kejohanan di musim permukaan rumput menjelang Wimbledon, bermakna musim tenis hanya akan disambung semula berkemungkinan paling awal pada 13 Julai.

Persatuan Tenis Amerika (USTA), memberi reaksi kepada pembatalan Wimbledon dengan berkata kejohanan Grand Slam Terbuka Amerika masih dirancang akan diadakan pada tarikh dari 31 Ogos hingga 13 September.

“Ketika ini, USTA masih merancang untuk menganjurkan Terbuka AS seperti dijadualkan, dan kami akan terus merangka pelan untuk menganjurkan kejohanan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

“USTA memantau situasi dengan penularan COVID-19 dan bersedia dengan semua pelan tindakan.”

Penganjur Wimbledon pada awalnya menolak untuk menganjurkan kejohanan tanpa penonton atau menangguhkannya kerana ia juga mewujudkan masalah lain dengan tempoh waktu yang singkat pada musim panas di England.

Bekas juara tiga kali, Boris Becker merayu pada hari Selasa agar penganjur menunggu lebih lama lagi sebelum membuat keputusan sementara bekas pemain nombor satu dunia wanita, Amelie Mauresmo, juara 2006, berkata kejohanan tahun ini seharusnya dibatalkan.

Pembatalan itu bermakna Federer, Serena dan Venus Williams, sudah beraksi di Kelab Seluruh England buat kali terakhir.

Federer dan Serena akan menghampiri usia 40 tahun pada kejohanan ini dianjurkan tahun hadapan sementara Venus akan berusia 41 tahun.

Persekutuan Tenis Perancis membangkitkan kemarahan di kalangan pemain tenis apabila membuat keputusan memindahkan kejohanan Terbuka Perancis – dari jadual asal 24 Mei ke 20 September, seminggu selepas final lelaki Terbuka AS. — AFP

Advertisement