Anda di sini

Semua tamu terbuka di Sibu ditutup sepanjang PKP

Advertisement
 Pasar tamu di kawasan terbuka Pasar Sentral Sibu kekal ditutup sehingga dikeluarkan notis baharu.
SUKAR DIKAWAL: Pasar tamu di kawasan terbuka Pasar Sentral Sibu kekal ditutup sehingga dikeluarkan notis baharu.

SIBU: Semua lima pasar tamu di kawasan terbuka di sini akan kekal ditutup untuk jualan dan perniagaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga dikeluarkan notis baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Peniaga dan Penjaja Kecil Pasar Sentral Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Albert Tiang ketika memaklumkan perkara itu, berkata daripada lima pasar tamu, tiga pasar tamu harian manakala selebihnya adalah pasar tamu hujung minggu.

“Pasar tamu hujung minggu terletak di Pasar Sentral Sibu dan Jalan Mahsuri manakala pasar tamu harian di Grand Height, Sungai Merah dan Taman Indah. Pasar tamu ini ditutup sejak 28 Mac lepas,” jelasnya.

Selaras dengan arahan terkini daripada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, hanya pasar tamu yang berstruktur tetap dibenarkan untuk beroperasi semasa tempoh PKP dengan kawalan penjarakan sosial yang lebih ketat oleh pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, Pengerusi MPS Clarence Ting dalam catatan Facebooknya semalam memberitahu bahawa kawasan-kawasan ini biasanya penuh sesak dan kawalan orang ramai sukar dilakukan.

“Bagi kepentingan keselamatan dan kesihatan awam, pihak majlis tidak akan membenarkan mana-mana pasar ini dibuka untuk tempoh ini,” ujarnya.

Menerusi pemerhatian kata Ting, pasar raya di Sibu mula melakukan lebih banyak pembasmian kuman berbanding sebelum ini hanya melakukan proses nyah kuman troli dan bakul.

Advertisement