Anda di sini

Pematuhan PKP di Bintulu amat membanggakan

Advertisement
 Johnny (kanan) dan Zulkipli (dua kanan) bersama anggota                                                                                             polis dan tentera memeriksa surat kebenaran bekerja yang              dikeluarkan majikan semasa tempoh PKP bagi perkhidmatan penting di Bintulu.
TELITI: Johnny (kanan) dan Zulkipli (dua kanan) bersama anggota polis dan tentera memeriksa surat kebenaran bekerja yang dikeluarkan majikan semasa tempoh PKP bagi perkhidmatan penting di Bintulu.

BINTULU: Pematuhan rakyat di Bintulu terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu amat tinggi meskipun dapat dilihat kenderaan banyak di atas jalan raya berikutan kebanyakannya golongan pekerja yang perlu menjalankan operasi industri besar dan perkhidmatan penting di bahagian ini.

Panglima Briged Ke-31 Infantri Brigedier Jeneral Datuk Johnny Lim Eng Seng berkata, Bintulu adalah bandar unik yang berlainan dengan bandar lain kerana mempunyai sumber minyak dan gas serta turut mempunyai pelabuhan penting yang memerlukan kerja-kerja operasi untuk industri itu diteruskan.

Begitupun katanya, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada rakyat di Bintulu ke-rana difahamkan pematuhan terhadap PKP di bahagian ini amat tinggi.

“Saya telah berada di sini sejak pelaksanaan fasa pertama PKP dan ini merupakan hari ke-12 pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan tugas bersama yang amat baik dan bersemangat.

“(Bahkan) rakyat tempatan di Bintulu juga dilihat mengalu-alukan kehadiran kami dan memberi sumba-ngan dari segi makanan dan air minuman yang melambangkan sanjungan mereka terhadap tugasan (barisan hadapan) PDRM dan tentera di Bintulu ini,” ujarnya ketika ditemui media semasa meninjau dan memantau sekatan jalan raya di Jalan Tun Hussein Onn menghala dari Jalan Miri ke pusat bandar ini semalam.

Beliau berkata, anggota tentera telah diatur gerak dalam Ops Penawar bermula 22 Mac dan sekarang adalah fasa kedua tentera ditugaskan bersama untuk membantu polis dalam pelaksanaan PKP ini.

Menurutnya, setiap hari tentera mempunyai 49 anggota membantu PDRM dalam sekatan jalan raya dan mengadakan rondaan bersama dan atur gerak tentera dibahagikan dalam kitaran syif dan sebelum itu perlu melakukan pemeriksaan kesihatan, suhu badan, kelengkapan dan diberi taklimat.

Begitu juga selepas mereka melaksana tugas katanya, prosedur yang perlu dilaksanakan ialah dari segi sanitasi atau nyah kuman, pemeriksaan kesihatan, suhu badan dan sebagainya.

“Jadi apa yang dilihat ia adalah dalam penugasan biasa tetapi kita mematuhi prosedur tertentu untuk menentukan anggota-anggota kita mematuhi peraturan yang ditetapkan dan menjaga kesihatan mereka.

“Ia seperti disarankan Panglima Tentera Darat yang mana kita mesti sentiasa sihat dan melindungi diri,” katanya.

Mengulas mengenai ke-nyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tentang aset tentera akan diatur gerak untuk menghantar bekalan makanan dan keperluan asas di pedalaman Sabah dan Sarawak semasa tempoh PKP katanya, di Sarawak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bersidang setiap hari yang dihadiri pihak polis dan tentera yang mana Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) Mejar Jeneral Datuk Md Din Abu juga menghadirinya.

Justeru katanya, segala bantuan yang dipohon de-ngan menggunakan aset tentera akan dikoordinasikan dan di Bintulu ini sekiranya ada keperluan tersebut kita akan membantu mengikut yang mampu tetapi buat masa sekarang keutamaan adalah membantu pihak polis dalam pelaksanaan PKP.

“Setakat ini Pejabat Residen Bintulu, saya difahamkan mereka telah mengkoordinasikan dan mengenal pasti tempat-tempat yang memerlukan bantuan ini dengan khidmat masyarakat tempatan,” katanya.

Turut bersama meninjau dan memantau sekatan jalan raya itu ialah Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili dan pegawai-pegawai kanan polis Bintulu.

  • oleh
  • Advertisement