Anda di sini

Mahkamah Pakistan ubah hukuman mati militan bunuh wartawan AS

Advertisement
 Gambar fail diambil pada 29 Mac, 2002 menunjukkan anggota polis mengiringi Sheikh di luar mahkamah di bandar pelabuhan Karachi, Pakistan. — Gambar AFP
HUKUMAN DIRINGANKAN: Gambar fail diambil pada 29 Mac, 2002 menunjukkan anggota polis mengiringi Sheikh di luar mahkamah di bandar pelabuhan Karachi, Pakistan. — Gambar AFP

KARACHI: Sebuah mahkamah di Pakistan semalam mengubah hukuman mati ke atas anggota militan kelahiran Britain, Ahmed Omar Saeed Sheikh, yang disabit kesalahan dalam kes pembunuhan wartawan Amerika Syarikat (AS), Daniel Pearl, pada 2002.

Peguam bela Sheikh, Khawja Naveed, memberitahu AFP hukuman anak guamnya sudah dikurangkan kepada tujuh tahun penjara.

Memandangkan Sheikh sudah berada di penjara sejak 2002, dia dijangka akan dibebaskan, tetapi mahkamah belum lagi mengeluarkan arahan itu, tambah Naveed.

Pihak pendakwa raya tidak segera membuat ke-nyataan.

Pearl, 38, merupakan ketua biro Asia Selatan bagi akhbar The Wall Street Journal ketika dia diculik dan dipenggal di Karachi pada 2002, sewaktu menyelidiki satu laporan tentang puak militan Islam.

Sebuah video grafik yang menunjukkan pemenggalan Pearl telah dihantar ke konsulat AS di kota tersebut hampir sebulan kemudian.

Sheikh ditangkap pada 2002 dan dijatuhi hukuman mati oleh sebuah mahkamah antikeganasan, manakala tiga tertuduh lain menerima hukuman penjara seumur hidup.

Pada Januari 2011, satu laporan yang dikeluarkan oleh ‘Pearl Project’ di Universiti Georgetown ekoran siasatan ke atas kematiannya telah membuat pendedahan yang mengerikan, dengan dakwaan bahawa orang salah telah disabit kesalahan bagi pembunuhan Pearl.

Siasatan itu, yang diketuai rakan Pearl dan juga wartawan Wall Street Journal Asra Nomani dan seorang profesor Universiti Georgetown, mendakwa pemberita itu dibunuh oleh Khalid Sheikh Mohammad, yang dituduh mendalangi serangan 11 September 2001, bukan Sheikh.

Mohammed – lebih dikenali sebagai KSM – ditangkap di Pakistan pada 2003 dan sedang ditahan di Teluk Guantanamo.

Seorang pakar psikologi AS yang menemu ramah KSM berkata banduan itu telah memberitahunya bahawa dia telah memenggal kepala Pearl. — AFP

Advertisement