Anda di sini

Kes sembuh meningkat bukan isyarat ingkari PKP

Advertisement

KUALA LUMPUR: Hari ke hari, jumlah kes pesakit COVID-19 yang sembuh menunjukkan peningkatan, namun ia bukan ‘lampu hijau’ untuk orang ramai mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa kedua kelmarin.

Kerjasama rakyat untuk terus berdisiplin dan patuh kepada PKP mampu memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19 yang menjadi igauan ngeri masyarakat seluruh dunia.

Kelmarin, seramai 108 kes pesakit dijangkiti COVID-19 berjaya sembuh dan ia menyaksikan jumlah paling tinggi yang sembuh dan keluar wad dalam sehari, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh dalam negara ialah 645 kes.

Ia adalah berita gembira tetapi peratusan rakyat untuk terus patuh kepada arahan PKP juga perlu ditingkatkan bagi memastikan COVID-19 dapat dihapuskan sepenuhnya.

Semalam adalah hari ke-16 PKP dilaksanakan dan semestinya pihak berkuasa yang menjalankan operasi sekatan jalan raya dan rondaan semakin tegas terutama terhadap orang ramai yang bersikap keras kepala dan ingkar arahan.

Sementara itu, semakan dan permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) untuk golongan B40 dan M40 yang merupakan sebahagian inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), dijangka terus meningkat semalam selepas dibuka kelmarin.

Bagaimanapun, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan orang ramai boleh membuat semakan kelayakan BPN pada bila-bila masa sehingga 30 April ini.

Ia juga bagi mengelakkan aliran trafik yang tinggi di laman rasmi portal itu dan berkemungkinan akan mengambil masa yang lama untuk diakses.

Bagi ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula, mereka telah mula memohon Skim Pengeluaran Wang Akaun 2 i-Lestari sejak kelmarin, menerusi i-Akaun (Ahli) selaras dengan langkah kerajaan melanjutkan tempoh PKP.

Ahli KWSP juga mempunyai tempoh masa sepanjang April untuk menghantar permohonan bagi membolehkan mereka menerima bayaran pengeluaran wang secara bulanan bermula Mei, dan memandangkan cawangan KWSP dan Pusat Urusan Perhubungan ditutup sehingga 14 April susulan lanjutan PKP, ahli boleh log masuk atau berurusan menerusi aplikasi KWSP i-Akaun atau e-mel menerusi saluran yang ditetapkan.

Selain mematuhi PKP, orang ramai dinasihat terus menjaga kebersihan, jarakan sosial dan melakukan aktiviti berfaedah bersama keluarga di rumah.

Namun harus diingat, mereka juga perlu berhati-hati dan menjaga jari-jemari agar tidak menyebarkan berita palsu yang akhirnya boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

Jika dilihat, hampir setiap hari Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan mengeluarkan kenyataan penafian berita tular dalam media sosial akibat sikap tidak bertanggungjawab warga maya yang menulis atau berkongsi info tidak sahih.

Barangkali netizen bosan di rumah tetapi tindakan menularkan berita palsu boleh menyebabkan anda disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Justeru, fikirlah sebelum bertindak dan jangan kerana ingin menjadi yang terawal berkongsi maklumat, diri sendiri yang terjerat.

— Bernama

Advertisement