Anda di sini

COVID-19: Syarikat korporat, NGO terus hulur sumbangan

Advertisement

 KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa kedua susulan penularan wabak pandemik COVID-19, menyaksikan pelbagai pihak sama ada badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang perseorangan terus tampil menghulurkan sumbangan.

Selain golongan terjejas, bantuan turut dihulurkan kepada barisan hadapan yang bertungkus lumus ‘bermandi peluh’ mencurah masa dan tenaga bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19, yang boleh membawa maut.

Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi tanggungjawab sosialnya menyerahkan sumbangan RM120,000, antaranya bagi membantu membiayai kos alat-alat kelengkapan perubatan, ubat-ubatan dan bahan pakai buang.

Ketua Eksekutif BSN Datuk Yunos Abd Ghani dalam kenyataan berkata pihaknya berharap bantuan itu sedikit sebanyak membantu wira-wira negara yang bertugas demi keselamatan negara.

Selain itu, sejuta unit penutup mulut dan hidung serta 100,000 unit penutup mulut dan hidung N95 disumbangkan syarikat Country Garden antaranya kepada Hospital Kuala Lumpur dan kerajaan negeri Johor yang diterima Menteri Besarnya Datuk Hasni Mohammad.

Menurut Naib Presiden Country Garden Rantau Malaysia-Singapura Syarul Izam menerusi satu kenyataan, bekalan penutup mulut dan hidung juga akan diedarkan kepada institusi dan orga-nisasi lain yang memerlukan secara berperingkat.

Syarikat berkaitan kerajaan negeri, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) pula menyumbang RM1 juta kepada Tabung Bantuan COVID-19 Terengganu.

“Selain derma kepada Tabung COVID-19 negeri, Terengganu Inc juga turut mengagihkan bekalan makanan bernilai RM12,000 kepada 140 keluarga yang terjejas di seluruh Terengganu melalui Majlis Belia Negeri Terengganu sepanjang tempoh PKP ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.

Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Yayasan Persatuan Perubatan Malaysia (MMAF) dengan kerjasama platform beli-belah dalam talian Sho-pee, melancarkan dana amal kebangsaan ‘Shopee MMA COVID-19 Fund’, semalam, untuk kakitangan penjagaan kesihatan yang sedang bertungkus-lumus menangani pandemik COVID-19.

MMA dalam satu kenyataan berkata, dana itu boleh diakses di laman kedai digital MMA dan MMAF di Shopee, menerusi www.shopee.com.my/m/shopeemmacovid19fund.

Derma  RM5 dan ke atas boleh dibuat menerusi aplikasi berkenaan. Untuk setiap RM1 yang didermakan, Shopee juga akan melakukan padanan dengan menderma RM1 lagi ke tabung berkenaan, manakala sumbangan RM100 ke atas akan menerima resit pengecualian cukai.

Tidak ketinggalan, sebagai usaha membantu golongan peniaga dan usahawan kecil, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) turut melancarkan kempen Tabung IKHLAS COVID-19 de-ngan sasaran memanfaatkan 30,000 keluarga.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) turut me-nyumbangkan 1,150 unit pelin-dung muka ‘UTeMShield’, dua unit kotak intubasi dan 2,000 pasang sarung tangan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, kata Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Dr Raha Abdul Rahim. — Bernama

Advertisement