Anda di sini

Berjoging semasa PKP, dua individu ditahan

Advertisement
 Haris semasa menyoal salah seorang pemandu semasa SJR.
TURUN PADANG: Haris semasa menyoal salah seorang pemandu semasa SJR.

PENAMPANG: Dua individu ditahan selepas mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan beriadah di sebuah taman perumahan di sini.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata perbuatan kedua-dua suspek berumur 28 dan 30 tahun itu dikesan orang awam sebelum melaporkan kejadian kepada pihak polis.

“Bertindak dengan maklumat, sepasukan polis ke lokasi yang dinyatakan dan melihat kedua-dua suspek beriadah berdekatan kawasan sekatan jalan raya Op COVID-19 kira-kira jam 5.20 petang.

“Kedua-dua suspek bukan sahaja mengingkari arahan PKP malah enggan beredar semasa diarahkan pulang oleh anggota polis yang berada di lokasi,” katanya.

Beliau berkata tindakan suspek membuatkan polis terpaksa membuat penahanan dan suspek kemudiannya dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Orang ramai diingatkan untuk mematuhi PKP dan duduk di rumah jika tidak mempunyai urusan penting di luar, kita juga tidak akan teragak-agak untuk menahan pihak yang ingkar dalam usaha memutuskan rantaian virus COVID-19 di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui di lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di sini.

Dalam pada itu Haris berkata pihaknya kini membuka laluan khas kepada pekerja yang bekerja dalam perkhidmatan perlu (essential services).

“Laluan ini bagi memudahkan pemandu melalui SJR dengan mudah selain mengelakkan kesesakan dan tidak berlaku kelewatan kepada golongan essential services.

“Ini juga bagi memudahkan pihak penghantaran makanan untuk menghantar tempahan pelanggan dalam masa singkat tanpa berhadapan dengan kesesakan semasa SJR dilaksanakan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement