Anda di sini

120 terkandas di Nunukan rayu bantuan kerajaan balik ke tanahair

Advertisement
 Lebih 120 rakyat Malaysia dilaporkan terkandas di Nunukan berikutan sekatan perjalanan masuk ke Sabah selaras penguatkuasaan PKP.
TERKANDAS: Lebih 120 rakyat Malaysia dilaporkan terkandas di Nunukan berikutan sekatan perjalanan masuk ke Sabah selaras penguatkuasaan PKP.

 KOTA KINABALU: Lebih 120 rakyat Malaysia terkandas di Nunukan, Kalimantan Utara (KALTARA), Indonesia, merayu Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri membantu mereka balik ke negara ini.

 Rayuan itu dikemukakan berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan penutupan pintu masuk ke Tawau yang baharu diisytiharkan Daerah Zon Merah.

Kebimbangan juga timbul terhadap keselamatan rakyat Malaysia di negara jiran susulan penularan COVID-19 di Nunukan yang sehingga kini merekodkan empat kes positif.

Salah seorang rakyat Malaysia yang terkandas, peniaga, Ahmad Rizamsyah Mohd Noor, 28, berkata Nunukan kini turut diisytiharkan Zon Merah oleh pemerintah KALTARA.

“Tekanan juga dirasakan apabila ada segelintir masyarakat di sini yang skeptikal dan melabel kami seperti penyebar virus walaupun kami keluar dari Sabah sebelum PKP.

“Mujur ada yang faham situasi sebenar, tetapi kami masih perlu berhati-hati terutamanya dengan ‘calok’ (sindiket penipuan)” katanya, kepada Utusan Borneo, di sini.

 Rizamsyah berkata mereka turut ditipu calok di Makassar semasa dalam perjalanan dari Sulawesi Barat, dan menumpang di rumah warga Tarakan sebaik tiba di pulau terbabit.

Namun, ketua kampung di kawasan itu meminta mereka keluar dari kampung itu sebab bimbang jika ada jangkitan, sebelum beliau, isteri dan anak bertolak ke Nunukan.

Menurutnya, kesulitan dihadapi juga ada dikongsikannya di media sosial namun ada netizen mengecam kerana menyangka mereka ke Indonesia ketika PKP dikuatkuasakan.

“Macam saya, isteri, Hasriani Tahir, 24, dan anak lelaki, tiga tahun, pergi ke Indonesia pada 7 Mac lagi, masa itu tidak ada larangan malah PKP juga belum dikuatkuasakan.

 “Kami pergi melawat keluarga isteri yang mengadakan majlis perkahwinan di Sulawesi Barat dan sepatutnya balik Tawau pada 26 Mac, tetapi terkandas di Nunukan kerana PKP.

Beliau berkata ketika ini Nunukan baharu diisytiharkan sebagai Zon Merah dan penduduk di pulau itu juga diminta tidak meninggalkan kediaman masing-masing oleh pemerintah.
 
Mengulas lanjut, mereka sekeluarga kini menginap sementara di Hotel Gita berhampiran Pelabuhan Tunon Taka sebagai ‘tempat berkurung’ bersama 20 rakyat Malaysia yang lain.

 “Rakyat Malaysia di Nunukan tinggal secara berkelompok tetapi berasingan, kami juga perlu mendaftarkan diri dengan Imigrasi Indonesia di Pelabuhan Tunon Taka,” katanya.

Pada masa sama, beliau berterima kasih dengan rakyat Indonesia di Nunukan yang bersimpati dengan mereka dan turut membantu menghulurkan sumbangan makanan.

 Ditanya berhubung reaksi pemimpin di Sabah pula, Rizamsyah bersyukur kerana sudah mendapat maklum-balas daripada Ketua Menteri Sabah berhubung situasi dihadapi.

“Pembantu Menteri Kewangan Sarifuddin Hata ada memaklumkan kami bahawa Ketua Menteri turut prihatin dan akan bertungkus-lumus membawa kami pulang ke tanahair.

“Terima kasih Kerajaan Negeri, pemimpin prihatin termasuklah Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman, Asdar Sulaiman, dan semua kenalan yang membantu,” katanya. 

Menyentuh perancangan mereka pula, beliau berkata rakyat Malaysia yang terkandas di Nunukan amat berharap dapat dibantu untuk dibawa pulang ke tanahair secepat mungkin.

 Mereka juga sedia mematuhi arahan Kerajaan Malaysia dan akur dengan prosedur PKP iaitu setiap orang yang baharu balik dari luar negara perlu menjalani kuarantin 14 hari. 

  • oleh
  • Advertisement