Anda di sini

United sertai Leicester, Chelsea dan Spurs bersaing dapatkan Coutinho

Advertisement
COUTINHO
COUTINHO

LONDON, England:  Manchester United dilaporkan mengetuai beberapa kelab dari Liga Perdana Inggeris dalam saingan untuk mendapatkan pemain tengah, Philippe Coutinho dari kelab Barcelona pada musim panas ini.

Coutinho menghabiskan satu musim kontrak pinjaman di Bayern Munich di Jerman, di mana beliau sudah menjaringkan lapan gol dari 22 perlawanan dalam Bundesliga Jerman tetapi kelab itu tidak dijangka akan menguatkuasa pilihan untuk mengubah kontrak pinjaman kepada perpindahan tetap.

Menurut akhbar-akhbar di Britain, United difahamkan berminat menambah Coutinho di barisan tengahnya walaupun berjaya mendapatkan pemain tengah berbakat, Bruno Fernandes pada bulan Januari lepas.

United bagaimanapun berdepan saingan dari Leicester City, Chelsea dan Tottenham untuk pemain antarabangsa Brazil berusia 27 tahun itu tetapi berasa yakin dapat mengatasi pesaingnya walaupun Coutinho pernah bermain untuk musuh ketat kelab itu, Liverpool.

Coutinho pernah ditanya jika beliau berminat untuk kembali ke Anfield di masa hadapan tetapi menolak sebarang peluang dan berkata beliau sekarang “dalam pengembaraan lain”.

Bekas pengurus Liverpool, Brendan Rodgers, yang membimbing Coutinho ketika kedua-dua mereka masih di Liverpool, juga ada menyuarakan minat tetapi Leicester, kelab semasa Rodgers, dijangka tidak mampu membayar gaji dan yuran perpindahan Coutinho.

Mereka mungkin akan cuba mendapatkan beliau untuk kontrak pinjaman dengan pilihan pembelian tetap, walaupun Barca dijangka lebih berminat dengan perpindahan tetap berdasarkan krisis kewangan kelab ketika ini ekoran pandemik koronavirus (COVID-19).

Isnin lepas, pemain kelab Barcelona bersetuju dengan potongan gaji sehingga 70 peratus dan juga menyumbang sebahagian gaji kepada kakitangan kelab untuk membantu mereka terus mendapat pendapatan pada krisis COVID-19 ini.

Jika krisis ini berlarutan lebih lama, penjualan pemain mungkin akan menyusul dalam usaha mengurangkan perbelanjaan gaji kelab dan membayar gaji kakitangan, dengan Coutinho dijangka antara mereka yang ‘dikorbankan’. — AFP

Advertisement