Anda di sini

Secara jujurnya, Liverpool sentiasa di hati saya: Sterling

Advertisement
STERLING
STERLING

LONDON, England: Kelab Liverpool mungkin akan cuba mendapatkan semula Raheem Sterling, lima tahun selepas pemain itu meninggalkan Anfield, menurut laporan di Perancis.

Sterling meninggalkan Liverpool dengan penuh kontroversi untuk ke Manchester City dengan yuran perpindahan sekitar 49 juta pound pada 2015.

Pemain sayap itu dikritik kerana satu temu bual yang dibuat bersama penyiaran BBC sebelum perpindahan, di mana beliau mendakwa kejuaraan adalah lebih penting dari wang sebagai motivasi beliau untuk meninggalkan Liverpool.

Sterling sentiasa dicemuh oleh penyokong Liverpool pada setiap kali City menentang Liverpool sejak itu tetapi beliau baru-baru ini mengakui beliau masih mempunyai minat dengan bekas kelabnya.

Semasa siaran langsung soal jawab dalam laman sosial Instagram dengan pengikutnya, pemain antarabangsa England itu ditanya jika beliau akan menimbangkan untuk menyertai semula Liverpool.

Beliau berkata: “Secara jujurnya, saya menyukai Liverpool. Jangan salah faham, mereka sentiasa di hati saya.

“Mereka adalah sebuah pasukan melakukan yang sangat banyak untuk saya membangun sebagai pemain.”

Akhbar Perancis, L’Equipe, melaporkan bahawa pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, mungkin akan cuba mendapatkan pemain berusia 25 tahun itu pada musim panas nanti sebaik sahaja beliau mengetahui dana yang disediakan untuk pasaran perpindahan.

Menurut laporan, salah seorang perwakilan Sterling menjawab spekulasi dengan berkata pintu tetap terbuka untuk satu kemungkinan kepulangan mengejut.

Beliau berkata: “Walaupun jika Raheem terikat dengan Manchester City, beliau tidak melupakan Liverpool kerana di situlah beliau menjadi pemain dan individu beliau ketika ini.

“Sememangnya ada kontroversi menyelubungi perpindahan beliau sebelum ini tetapi sejak itu, masa mengubah segala-galanya dan satu kemungkinan boleh berlaku.”

Sterling sendiri mungkin tertarik dengan Liverpool kini mengatasi City sebagai pasukan terbaik dalam Liga Perdana Inggeris dan berkelebihan 25 mata di singgahsana liga berbanding City sebelum musim digantung ekoran penularan pandemik koronavirus (COVID-19).

Dengan City dijangka digantung dari menyertai Liga Juara-Juara selama dua tahun kerana melanggar peraturan Kewangan Bersih, sementara menunggu perbicaraan rayuan, mungkin juga menyebabkan beberapa pemain akan meninggalkan kelab itu.

Apa yang pasti, perhubungan Sterling dengan penyokong Liverpool kelihatan berkurangan selepas beliau dilihat berswafoto dengan penyokong Liverpool selepas kemenangan pada perlawanan pembuka tirai musim baharu, Piala Perisai Komuniti menentang Liverpool pada bulan Ogos tahun lepas. — AFP

Advertisement