Anda di sini

Rompak, cederakan pengawal keselamatan, lelaki kena lapan tahun, dua sebatan

Advertisement
 Nelson diiringi anggota polis selepas dijatuhkan hukuman.
PENJARA DAN SEBAT: Nelson diiringi anggota polis selepas dijatuhkan hukuman.

SIBU: Penganggur yang merompak dan mencederakan seorang pengawal keselamatan di Pasar Sentral Sibu dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Nelson Tungku, 22, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Caroline Bee Majanil selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan mengikut Seksyen 394 dan 397 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, Nelson didakwa merompak telefon bimbit dan dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan sebilah pisau lipat terhadap seorang pengawal keselamatan di Pasar Sentral Sibu pada 21 Mac, 2020, kira-kira jam 4.19 petang.

Berdasarkan fakta kes, mangsa cedera parah selepas ditikam menggunakan pisau ketika dirompak oleh tertuduh di Tingkat Tiga Tempat Parkir Pasar Sentral Sibu di Jalan Bengkel.

Pada hari yang sama kira-kira jam 4.27 petang, sepasukan anggota polis telah pergi ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Kira-kira jam 6.30 petang, tertuduh dijumpai bersembunyi di sebuah bilik tangki air di Tingkat Empat Pasar Sentral.

Pihak polis turut menjumpai telefon bimbit di dalam saku seluarnya berserta sebilah pisau lipat yang digunakan tertuduh bagi melakukan rompakan tersebut.

Dalam kes berasingan di Mahkamah Majistret, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan setelah mengaku bersalah mencuri satu plastik mengandungi mi dan sinki aluminium bernilai RM100.

Sawing Mara, 43, didakwa melakukan kesalahan itu pada 31 Mac 2020, kira-kira jam 7.30 malam di sebuah kedai makan di Jalan Lanang.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Advertisement