Anda di sini

Ribuan pekerja Korea Selatan untuk tentera AS diarah bercuti tanpa gaji

Advertisement

SEOUL: Kira-kira 4,000 warga Korea Selatan yang bekerja untuk angkatan tentera Amerika Syarikat (AS) di negara mereka telah diarahkan bercuti tanpa gaji semalam selepas Seoul dan Washington bertengkar mengenai pembiayaan untuk tentera AS.

Washington menempatkan 28,500 anggota tentera di negara tersebut untuk mempertahankannya daripada negara senjata nuklear Korea Utara, tetapi hubungan sekutu keselamatan itu telah tegang disebabkan oleh tuntutan AS agar Korea Selatan membayar berbilion dolar lagi untuk menanggung kos mereka.

Pentadbiran Trump pada awalnya menuntut AS$5 bilion(RM22.5 bilion) se-tahun – peningkatan lebih lima kali ganda.

Pegawai AS berkata mereka sejak itu telah “berkompromi” mengenai jumlahnya tetapi rundingan sebanyak tujuh pusingan, terakhir pada pertengahan Mac lepas, gagal mencapai persetujuan.

Perjanjian Langkah Khas sebelum ini, nama bagi perjanjian pembiayaan itu, tamat pada hujung Disember dan Angkatan Tentera AS Korea (USFK) berkata pada bulan lepas bahawa ia terpaksa menyuruh pekerja Korea bercuti bermula 1 April kerana pembiayaan untuk membayar gaji mereka sudah habis.

“Hari ini adalah hari yang malang bagi kita. Ia tidak dapat difikirkan. Ia menyayat hati,” komander USFK Ro-bert Abrams menyebut dalam satu kenyataan semalam.

“Ini adalah pekerja kita, rakan sekerja kita, rakan sepasukan kita, dan kita menganggap mereka sebagai keluarga,” tambahnya.

“Mereka memainkan pe-ranan yang amat penting dalam misi kita.”

Cuti dari tugas itu setakat ini diguna pakai kepada hampir separuh daripada hampir 9,000 kakitangan Korea Selatan dalam USFK.

Ia berlaku ketika Seoul dan tentera AS memerangi wabak COVID-19 yang sedang mengganas – 13 kes yang ada kaitan dengan USFK sudah disahkan – manakala Korea Utara menjalankan siri pelancaran senjata.

“AS telah meletakkan warga sekutu keselamatannya dan punca pendapatan mereka dalam bahaya,” kata Son Gio, Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Korea USFK.

“Presiden Trump juga meletakkan nyawa askar AS yang ditugaskan di Korea Selatan dalam bahaya, kerana cuti dari tugas ini akan memburukkan lagi keadaan bagi mereka yang sudah pun ter-jejas akibat wabak COVID-19 di dalam pangkalan.”

Sebelum cuti dari tugas semalam, perunding Korea Selatan Jeong Eun-bo berkata Seoul dan Washington sudah “mengecilkan dengan ketara” perbezaan mereka dan “berada pada peringkat terakhir penyelarasan untuk menyelesaikan perjanjian”. — AFP

“Kami menggesa AS mengambil langkah untuk memastikan pekerja yang tertakluk kepada skim cuti dari tugas dapat kembali bekerja dengan cepat,” katanya, dan menambah langkah itu boleh menjejaskan kesiapsiagaan tentera di semenanjung Korea. — AFP

Advertisement