Anda di sini

Pusat Sains Media Malaysia dilancar, bantu salur maklumat mengenai COVID-19

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pusat Informasi Bioteknologi Malaysia (MABIC) melancarkan platform media dalam talian, Pusat Sains Media (SMC) Malaysia, bertujuan menyalurkan maklumat berdasarkan bukti dan fakta sains bagi membantu media dalam isu-isu sains berkaitan  COVID-19.

SMC dalam satu kenyataan semalam berkata pihaknya ingin membantu menyebarkan maklumat tepat risiko jangkitan virus itu dengan menangani maklumat yang tidak sah menerusi fakta sains, memandangkan terdapat banyak maklumat tidak tepat mengenai COVID-19 terutamanya dalam media sosial.

“SMC akan menyediakan kenyataan dan reaksi daripada pakar sains, mengumpul reaksi pakar-pakar sains berhubung COVID-19 termasuk aspek virologi, genom, vaksin serta rawatan yang boleh dipetik dan dimasukkan dalam laporan media bagi memudahkan maklumat disampaikan,” menurut kenyataan itu.

SMC diasaskan bersama Pengarah Eksekutif MABIC, Dr Mahaletchumy Arujanan bersama bekas wartawan penyiaran tempatan, Tan Su Lin.

Sementara itu, Dr Mahaletchumy berharap SMC dapat menjadi penghubung antara komuniti saintis dan pengamal media bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti laporan media mengenai ilmu sains kepada orang awam tanpa dicemari maklumat tidak tepat.

“Perkara ini telah lama ditunggu-tunggu dan ini adalah projek MABIC yang kedua selepas melancarkan surat khabar sains, The Petri Dish, 10 tahun yang lalu,” katanya yang juga ketua pengarang akhbar berkenaan.

Beliau berharap usaha ini akan mendapat sokongan daripada komuniti sains termasuk saintis, institusi-institusi pengajian tinggi, pusat-pusat penyelidikan dan agensi-agensi kerajaan dalam meningkatkan komunikasi dan literasi sains di negara ini.

SMC Malaysia merupakan salah satu jaringan antarabangsa Pusat Sains Media (SMC) yang ditubuhkan di seluruh dunia termasuk United Kingdom, New Zealand, Australia, Jerman dan Kanada.

SMC beroperasi sebagai pertubuhan tidak berasaskan keuntungan yang bekerjasama dengan pengamal media serta institusi sains di negara masing-masing dengan tujuan penting iaitu meningkatkan liputan Sains dalam berita-berita utama.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang SMC Malaysia di www.sciencemediacentremalaysia.com. — Bernama

Advertisement