Anda di sini

‘Megxit’: Harry dan Meghan rasmi tinggalkan kehidupan diraja

Advertisement
 

PUTERA Harry dan isterinya Meghan secara rasmi berhenti menjadi anggota-anggota kanan dalam kerabat diraja Britain pada Selasa lepas, ketika mereka memulakan kehidupan baharu yang kontroversi di Amerika Syarikat (AS).

Pasangan itu sudah pun berpindah ke California, menurut laporan, selepas mengumumkan pada Januari lalu bahawa mereka berhasrat untuk meninggalkan kehidupan diraja dan “bekerja untuk menjadi bebas dari segi kewangan”.

Keputusan itu bermakna mereka tidak akan lagi menjalankan tugas bagi pihak Ratu Elizabeth II dan melepaskan jawatan mereka di dalam monarki di Britain.

Ia menyusuli laporan bahawa Meghan begitu tidak gembira dengan kehidupan di dalam institusi berusia berabad-abad itu dan rungutan yang semakin meningkat daripada pasangan itu tentang gangguan media.

Pengumuman mereka yang mengejutkan telah menggegarkan kerabat diraja, dipercayai tidak dijangkakan oleh ratu dan anggota kanan lain dalam kerabat diraja.

Ia mendorong ratu berusia 93 tahun itu untuk mengumumkan mesyuarat tergempar bersama pewaris dan  anakanda baginda yang sulung Putera Charles, dan dua putera baginda, Putera William dan Putera Harry, untuk membincangkan terma pengunduran mereka.

Keluarga itu pada akhirnya bersetuju pasangan itu, yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 11 bulan, Archie, akan melepaskan gelaran mereka sebagai ‘Royal Highness’ dan tidak lagi menggunakan label ‘Sussex Royal’.

Mereka kini menggunakan nama itu untuk laman sesawang dan akaun Instagram mereka yang popular, dan turut membuat puluhan aplikasi tanda dagangan dengannya untuk pelbagai produk.

Bagaimanapun mereka akan terus dikenali sebagai ‘Duke and Duchess of Sussex’, gelaran rasmi mereka, dan Harry kekal sebagai pewaris keenam kepada takhta, tanpa sebarang perubahan kepada urutan penggantian.

IMPIAN YANG MENJADI PAHIT

Pengunduran Harry dan Meghan – yang digelar ‘Megxit’ oleh media British – adalah berbeza sekali berbanding pada 2018, ketika mereka berkahwin dalam majlis perkahwinan ala kisah pari-pari di Windsor Castle yang dilihat di seluruh dunia.

Meghan, 38, seorang bekas aktres TV yang berbangsa kacukan, dilihat sebagai nafas udara segar bagi kerabat diraja, yang sering digambarkan sebagai pengap.

Namun hubungan dengan media tidak mengambil masa yang lama untuk menjadi pahit, dan beberapa akhbar dituduh menjaja stereotaip perkauman yang menyinggung perasaan selain mengeluarkan kritikan yang tidak adil.

Laporan turut dibuat mengenai perpecahan di dalam kerabat diraja, dan perselisihan yang semakin meningkat di antara Harry dan William.

Sejak mendedahkan rancangan mereka, pasangan itu telah tinggal di sebuah rumah agam mewah di pantai barat Pasifik di Kanada, dan melawat Britain hanya seketika sahaja pada bulan lepas.

Namun pasangan itu dikatakan sudah berpindah ke California dengan menaiki jet persendirian pada awal bulan lepas sebelum AS menutup sempadan utaranya kerana wabak koronavirus.

Meghan membesar di Los Angeles dan ibunya, Doria Ragland, masih tinggal di sana. Dia juga mempunyai jaringan rakan dan kontak kerja di bandar raya tersebut.

Walau bagaimanapun, apa yang mereka akan buat seterusnya tidak jelas.

“Saya rasa mereka sudah menjadi sangat tidak relevan dalam skim besar bagi apa yang sedang berlaku di dunia,” kata penulis biografi diraja Penny Junor kepada AFP.

Junor berkata sekarang adalah masa yang khususnya tidak menentu bagi Harry, “seorang anggota yang sangat istimewa dalam kerabat diraja”.

“Di Amerika, mereka tidak ada apa-apa. Mereka adalah selebriti dan selebriti berlambak,” tambahnya.

Bagaimanapun Junor berkata pasangan itu telah meninggalkan “pintu terbuka sedikit” untuk kembali kepada kerabat diraja jika kehidupan di Amerika tidak menjadi.

Pengumuman awal pasangan itu untuk meninggalkan Britain memecah-belah pendapat dan perpindahan mereka ke California dibuat selepas ayahanda Harry didapati dijangkiti COVID-19.

Putera Charles kini sudah keluar daripada pengasingan diri, kata Clarence House pada Isnin lepas.

Kerabat diraja Britain telah menunjukkan solidariti dengan pekerja kesihatan yang menangani wabak, manakala baginda ratu mengeluarkan perutusan untuk menyatakan kerabat baginda bersedia untuk memainkan peranannya dalam usaha kebangsaan.

“Harry dan Meghan sudah memilih selebriti daripada kewajipan,” akhbar The Times menyebut dalam satu tulisan pendapat pada Isnin lepas.

Sementara itu, pasangan itu tidak menerima sambutan yang mesra dari Presiden AS Donald Trump, yang baru-baru ini dikritik oleh Harry kerana pendiriannya mengenai perubahan iklim ketika beliau menerima panggilan telefon palsu.

Trump berkata, beliau “seorang rakan karib dan peminat Ratu dan United Kingdom” tetapi menegaskan pembayar cukai AS tidak akan menanggung bil keselamatan mereka.

“Mereka mesti bayar!” beliau menulis dalam Twitter pada Ahad lepas.

Amaran presiden itu mendorong jawapan terbuka yang jarang sekali dibuat dari jurucakap pasangan itu, yang menyatakan mereka “tidak ada rancangan untuk meminta sumber keselamatan dari kerajaan AS”. — AFP

Advertisement