Anda di sini

Jangan terburu-buru tetapkan tarikh

Advertisement
ABDUL KARIM
ABDUL KARIM

KUCHING: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa Jawatankuasa Penganjur Sukan Malaysia (SUKMA 2020) agar tidak terburu-buru melakukan penetapan tarikh baharu temasya sukan kebangsaan itu.

Menurutnya, Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dilaksanakan akibat penularan wabak COVID-19 memaksa ramai penganjur kejohanan sukan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa menangguh ataupun membatalkan acara mereka.

“Penganjur tidak perlu berasa tertekan menetapkan tarikh baharu SUKMA 2020 sepatutnya diadakan di Johor tahun ini kerana semua negeri terlibat memang faham dengan keadaan negara kita sekarang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.

Penganjuran SUKMA edisi ke-20 dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 19 Julai depan di Johor.

Beliau memuji pendirian penganjur SUKMA 2020 memberi jaminan temasya sukan terbesar negara itu tidak diadakan pada Disember tahun ini kerana membantutkan persediaan atlet-atlet menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Selain peperiksaan SPM, kita juga terpaksa mengambil kira faktor lain seperti cuaca Monsun Timur Laut yang biasanya berlaku dari November hingga Mac dan penganjur mungkin berdepan risiko hujan berpanjangan sehingga timbul masalah banjir di beberapa negeri turut serta pada SUKMA akan datang,” kata beliau.

Abdul Karim berkata, bagi kontinjen Sarawak kemungkinan besar terpaksa membuat pemilihan atlet-atlet bertanding disebabkan ada melebihi had umur.

Beliau turut bersetuju dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengenai beberapa aspek utama perlu diambil kira sebelum menentukan tarikh baharu.

Ini termasuk pengisytiharan rasmi dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) situasi keselamatan negara daripada pandemik COVID-19 selain mendapat persetujuan semua pihak terutamanya Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.

“Isu had umur harus diberi perhatian sewajarnya kerana penundaan SUKMA kali ini di luar jangkaan dan tidak adil kepada mana mana atlet sudah membuat persediaan lebih kurang dua tahun bagi temasya ini namun tidak dibenarkan beraksi kerana had umur adalah 21 tahun ke bawah,” jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement