Anda di sini

Ingkar PKP, Polis Beluran buka tiga kertas siasatan

Advertisement
 Kakitangan dan anggota pelbagai agensi yang terlibat dalam Operasi Nyah Cemar di Pekan Beluran.
TERLIBAT: Kakitangan dan anggota pelbagai agensi yang terlibat dalam Operasi Nyah Cemar di Pekan Beluran.

BELURAN: Polis Beluran telah membuka tiga kertas siasatan yang melibatkan kesalahan ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Superintendan Kasim Muda berkata, satu kes direkodkan di Ulu Sapi, Beluran manakala dua kes lagi berlaku di Telupid.

"Bagi kes di Ulu Sapi, Beluran, mereka ingkar pada arahan walaupun telah diberi amaran. Apabila ditanya, mereka tidak ada alasan munasabah untuk berada di luar.

"Manakala, dua kes di Telupid membabitkan kes lapan remaja yang bermain sepak takraw di luar rumah dan kes seorang pekerja yang berada di luar tanpa alasan munasabah," katanya kepada media pada Operasi Nyah Cemar di Pekan Beluran dekat sini.

Operasi Nyah Cemar di sekitar Pekan Beluran itu dilakukan secara bersepadu melibatkan dua kakitangan Pejabat Daerah Beluran, lima kakitangan Majlis Daerah Beluran, lima kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia, empat anggota PDRM dan 10 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat.

 Proses nyah cemar dilakukan untuk membersihkan kawasan sekitar Pekan Beluran.
OPERASI: Proses nyah cemar dilakukan untuk membersihkan kawasan sekitar Pekan Beluran.

Operasi itu menggunakan sebuah jentera bomba serta sebuah kenderaan 4x4 masing-masing dari JBPM dan PDRM selain 10 pam galas.

Mengenai pelaksanaan PKP, Kasim berkata kadar pematuhan penduduk di Beluran adalah lebih daripada 95 peratus pada waktu siang dan 100 peratus pada waktu malam.

"Oleh itu, kita berharap orang ramai akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada kakitangan yang terlibat dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan di bawah PKP.

"Beluran pada ketika ini masih bebas dari COVID-19 dan kita berharap dengan pematuhan ini, kita akan kekal bebas daripada penularan wabak itu," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement