Anda di sini

COVID-19 ragut satu lagi nyawa di Sarawak

Advertisement
Uggah bersama Dr Sim dan Abdullah pada sidang media mengenai COVID-19.
Uggah bersama Dr Sim dan Abdullah pada sidang media mengenai COVID-19.

KUCHING: Sarawak mencatatkan satu lagi kematian akibat COVID-19 hari ini melibatkan seorang lelaki menjadikan sembilan kematian setakat ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata selain satu kes kematian, terdapat 23 kes baharu positif COVID-19 direkodkan hari ini. 

Sementara itu pada sidang media berasingan di Putrajaya hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes tersebut merupakan kematian ke-49 (kes ke-1,273) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes ke-2,107.

"Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 1 April jam 8.36 malam," katanya menerusi laporan BERNAMA.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata lagi bilangan kes positif di Sarawak setakat ini ialah 211 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac 2020. 

Daripada 23 kes positif ini, 21 kes dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan dua kes di Hospital Sibu. 

“Pada hari ini sebanyak 91 kes baharu orang yang disyaki (PUI) dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 1,379 kes. Daripada jumlah itu, 1,082 kes adalah negatif dan 86 kes PUI masih menunggu keputusan makmal,” katanya pada sidang media di sini. 

Bagi kes PUI baharu di Daerah Kuching hari ini adalah sebanyak 63 kes yang mana 33 kes adalah disaring di Kompleks Belia dan Sukan dan 30 kes di HUS. 

Hadir sama, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol.

  • oleh
  • Advertisement