Anda di sini

Bantuan Khas Sarawakku Sayang disalurkan kepada penerima setiap 15 hari bulan bermula April

Advertisement
 

KUCHING: Bantuan Khas Sarawakku Sayang atau BKSS kepada rakyat Sarawak dari kategori berpendapatan rendah kumpulan B40 akan disalurkan ke akaun masing-masing pada setiap 15 hari bulan bermula April hingga September 2020.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion (gambar) berkata seramai 430,000 rakyat Sarawak akan menerima bantuan tunai bulanan sebanyak RM250 untuk enam bulan yang bertujuan untuk meringankan beban golongan ini dalam menghadapi kesan COVID-19.

"Manakala lebih daripada 23,000 penerima bantuan yang tidak memiliki akaun bank berdaftar akan disalurkan melalui Pejabat Cawangan Perbendaharaan Negeri berdekatan tempat kediaman penerima melalui dua fasa.

"Fasa pertama adalah pada 15 hingga 30 April 2020 dan fasa kedua adalah 15 hingga 30 Ogos 2020," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pendekatan itu diambil bagi memastikan bantuan itu dapat disalurkan dengan teratur dan efisien.

Jaul mengingatkan penerima bayaran bantuan ini merupakan senarai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) pada bulan Januari 2020 yang diluluskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM). 

"Maka itu, permohonan bagi BKSS adalah tidak diperlukan," ujarnya.

Beliau turut menegaskan kerajaan negeri menggalakkan penggunaan SarawakPay untuk berbelanja semasa penularan wabak COVID-19.

Pada 23 Mac lepas, Kerajaan negeri mengumumkan Pakej Bantuan Khas SarawakKu Sayang melibatkan peruntukan berjumlah kira-kira RM1.154 bilion.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pakej bantuan khas ini merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi mengurangkan kesan penularan COVID-19 ke atas ekonomi dan melindungi kesejahteraan rakyat. 

  • oleh
  • Advertisement