Anda di sini

Amalan awal mudahkan atlet berbasikal Sabah sesuaikan diri dengan PKP

Advertisement
 Waldron (depan) bersama rakan sepasukan dan pegawai pasukan semasa Kejohanan Berbasikal Junior Malaysia di Kelantan, 28 Februari-1 Mac lalu.
JUARA: Waldron (depan) bersama rakan sepasukan dan pegawai pasukan semasa Kejohanan Berbasikal Junior Malaysia di Kelantan, 28 Februari-1 Mac lalu.

KOTA KINABALU: Atlet berbasikal Sabah terutamanya atlet Sukan Malaysia (SUKMA) dapat sesuaikan diri dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana memang sudah menjadi amalan mereka meletakkan keselamatan sebagai yang paling utama.

Jurulatih Berbasikal Trek dan Jalan Raya Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, Louis Pang berkata, sebelum PKP dikuatkuasakan, mereka telah berhenti berlatih di gimnasium.

"Kami sudah mengamalkan penggunaan nyah cemar tangan apabila berlatih di kawasan awam sejak pertengahan Januari..terima kasih kepada Borneosew Medical Trading yang telah menaja cecair nyah cemar kepada pasukan.

"Tindakan menghentikan latihan di gimnasium dan penggunaan nyah cemar sebelum PKP dikuatkuasa ini adalah bagi mengelakkan risiko atlet terdedah dengan penyakit," kata Louis dalam kenyataannya menerusi aplikasi WhatsApp kelmarin.

Menyedari risiko dijangkiti virus COVID-19 jika berlatih di luar, atlet berbasikal juga telah beralih ke latihan dalam rumah sebelum PKP dikuatkuasakan.

Kerajaan pada awalnya telah mengkuatkuasakan PKP pada 18-31 Mac tetapi kemudian melanjutkannya sehingga 14 April dalam usaha membendung penularan COVID-19.

"Amalan awal itu membolehkan kami menyesuaikan diri dan mematuhi sepenuhnya PKP. Kami bersyukur kerana pasukan juga ada kemudahan baik berlatih dalam rumah.

"MSN Sabah juga telah menyediakan kami dengan tenaga pengajar dalam rumah sejak 2018. Kami ada tiga setengah tahun pengalaman dengan latihan dalaman," kata Louis.

Beliau berkata, dengan PKP, program latihan atlet disediakan dan dipantau menerusi talian.

"Mereka tahu apa yang harus dilakukan setiap hari. Dengan jurulatih dan meter kuasa, mereka boleh melengkapkan latihan dan memuat naik data latihan dalam talian. Aplikasi ini merakam GPS, bacaan degupan jantung, kekuatan, irama dan kelajuan.

"Sama ada atlet berlatih bersama saya di Kuala Lumpur atau Sabah, data itu direkodkan dan dianalisis. Ini menjadikan semua orang bertanggungjawab," katanya.

Apapun katanya, dengan penundaan SUKMA 2020 dan tarikh baru belum diputuskan, mereka juga berdepan dengan situasi ketidakpastian.

Sehubungan dengan itu, mereka juga telah mengendurkan latihan sehingga tarikh baru SUKMA ditentukan.

"Tiada guna meletakkan atlet dengan beban tekanan dalam latihan. Berhadapan dengan COVID-19 juga sudah cukup memberi tekanan.

"Matlamat utama kami sekarang adalah untuk kekal selamat, mengekalkan tahap kecergasan dan terus menyokong atlet sama ada yang berada di Kuala Lumpur atau di Sabah," kata Louis.

Edisi ke-20 SUKMA 2020 sepatutnya berlangsung di Johor pada 11-19 Julai tetapi telah ditunda dengan kemungkinan ianya akan dianjakkan ke 2021.

Sambil itu, atlet SUKMA Sabah, Waldron Chee Wen Chun menjuarai acara berbasikal jalan raya ujian masa indivdu bawah 19 tahun lelaki pada Kejohanan Berbasikal Junior Malaysia di Kelantan pada 28 Februari-1 Mac lalu.

Turut berada dalam kelompok 10 teratas pada perlumbaan yang melibatkan 64 peserta itu ialah Chong Tshun Lok Darren di tangga keenam. Bebrapa lagi atlet Sabah turut mengambil bahagian seperti Dani Irfan Fazallah dan Steven Lee Vui Lin.

  • oleh
  • Advertisement