Anda di sini

36,886 orang nikmati bantuan khas RM300

Advertisement
SHAFIE
SHAFIE

KOTA KINABALU: Seramai 36,886 orang daripada golongan 'vulnerable' di negeri ini sudah menerima bantuan khas 'one-off' RM300 membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM11,065,800.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, seramai 20,157 penerima Bantuan Am dan 2,197 penerima Bantuan Anak Yatim masing-masing mendapat bantuan RM300 berkenaan.

Katanya, bantuan bagi kedua-dua golongan penerima itu membabitkan jumlah sebanyak RM6,706,200.

Menurutnya, golongan penerima Bantuan Orang-Orang Tua,  Bantuan Kanak-Kanak (ibu tunggal/bapa tunggal), Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU), dan pesakit kronik seramai 14,532 orang turut menerima bantuan masing-masing dengan jumlah keseluruhan RM4,359,600.
 
"Setakat ini, seramai 22 pesakit COVID-19 masing-masing sudah menerima bantuan RM500 yang melibatkan jumlah RM11,000 dan baki seramai 188 orang lagi pesakit COVID-19 akan menerima bantuan masing-masing sebaik sahaja maklumat akaun bank pesakit diperoleh.

"Bagi bantuan RM500 kepada rakyat yang terjejas seperti golongan miskin dan miskin tegar, setakat ini seramai 410 orang daripada kategori berkenaan menerima bantuan masing-masing dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM205,000.
 
"Seramai 12,678 orang penerima bantuan sedang dalam proses pembayaran dengan jumlah RM6,339,000," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
 
Beliau berkata, peruntukan berjumlah RM189,560 diserahkan kepada Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur untuk diagihkan kepada seramai 2,554 pelajar Sabah dari 33 Universiti Awam dan Instituti Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Semenanjung.
 
Dalam pada itu katanya, Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut menerima peruntukan sebanyak RM500,000 untuk bantuan kepada pelajar yang berada di kampus induk UMS di Kota Kinabalu serta kampus-kampus lain di Wilayah Persekutuan Labuan dan Sandakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, pihaknya turut menyediakan bantuan makanan kepada individu di bawah siasatan (PUI) di 17 pusat kuarantin seluruh negeri.

Menurutnya, bantuan berkenaan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM91,440 kepada seramai 2,076 PUI manakala bantuan untuk kuarantin sementara kanak-kanak jalanan (gelandangan) melibatkan 20 orang dengan perbelanjaan berjumlah RM2,354.

"Jumlah ini akan bertambah dari semasa ke semasa tertakluk kepada bilangan PUI yang ditempatkan di pusat-pusat kuarantin di Sabah.
 
"Bantuan berbentuk makanan turut disampaikan terus kepada ketua keluarga di 60 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ia melibatkan seramai 108,632 ketua isi rumah dengan nilai bantuan berjumlah RM10,863,200.
 
"Bantuan makanan ini masih berterusan dan sedang dalam proses pengagihan di seluruh pelusuk negeri Sabah," jelasnya.
 
Shafie berkata, sumbangan khas sebanyak RM1 juta kepada setiap agensi disampaikan pada 30 Mac 2020 kepada lapan agensi barisan hadapan di Sabah.

Katanya, ia termasuklah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Jabatan Imigresen Malaysia Sabah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Malaysia Sabah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Sukarelawan RELA (RELA), dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Beliau berkata, pembayaran sumbangan bantuan kewangan masih berterusan dan sebahagiannya sedang dalam proses pembayaran kepada penerima-penerima yang layak.

  • oleh
  • Advertisement